Categories
KENYATAAN MEDIA

Tahniah Red Giants

Oleh: MOHAMED AZMIN ALI

Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Selangor di atas kejayaan layak ke pertandingan separuh akhir kejohanan Piala Malaysia.

Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran penyokong-penyokong ke Stadium Shah Alam pada 6 Disember 2015 sempena perlawanan kedua Separuh Akhir Piala Malaysia di antara pasukan Selangor dan Pahang. Jelas bahawa sukan bola sepak mampu menyatukan rakyat dan merentasi kaum, agama serta kedudukan.

Kehadiran penyokong memenuhi stadium akan meningkatkan semangat juang pasukan Selangor serta tahap permainan dalam usaha untuk menjejak kaki ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia setelah sekian lama pasukan Gergasi Merah terlepas peluang memenangi kejohanan berprestij ini.

Kerajaan Negeri menggesa para penyokong kedua-dua pasukan, Selangor dan Pahang untuk hadir di Stadium Shah Alam berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi tanpa melunturkan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri memandang serius beberapa insiden keganasan melibatkan segelintir penyokong yang membakar suar dan mercun roket serta bom asap ketika perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi pada 8 September 2015. Kerajaan Negeri menggesa agar budaya ganas ini dihentikan dan tidak menjadi ikutan para penyokong Selangor dan Pahang.

Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) dan Polis akan memastikan keselamatan dan keselesaan penonton terjamin. MBSA juga telah memasang 80 kamera litar tertutup di lokasi strategik seluruh stadium dan telah meningkatkan jumlah anggota keselamatan untuk menjaga keselamatan dan keharmonian para penyokong kedua-dua pasukan.

Selamat berjuang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.