Categories
SELANGOR

Teras pembangunan Selangor jamin keadilan rakyat

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 12 DIS: Kepayahan rakyat ekoran ekonomi gawat dan rasuah berleluasa mendorong Selangor menekankan prinsip kebertanggungjawaban serta keadilan sosial sebagai teras pembangunan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau akan memastikan Selangor terus memecut ke hadapan bersaing dengan negeri dan negara lebih maju di rantau ini.

MB & SULTANKatanya, gagasan ‘Smart Selangor’ dilakar sebagai visi negeri untuk tempoh tiga tahun akan datang dengan menjamin keadilan rakyat.

“Patik berkelana ke Jepun dan Korea Selatan mencari idea, menelusuri jejak bandar raya dan negara berjaya, meneliti pusat penyelidikan dan inovasi untuk memajukan lagi negeri.

“Pembangunan Selangor akan diseimbangkan dengan kemekaran seni budaya dan warisan dengan pembangunan muzium serta galeri untuk pencinta juga aficionado seni seperti tuanku sultan.

“Patik juga tidak lupa peri pentingnya bola sepak yang menjadi sukan rakyat dan kegemaran tuanku yang berupaya menyatukan umat rencam,” katanya ketika menyampaikan Sembah Ucapan Taat Setia sempena Hari Keputeraan ke-70 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

Atas kesedaran itu, Mohamed Azmin berkata, Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan program bantuan makanan asas untuk golongan termiskin dan mengecualikan pembayaran fi lesen bagi peniaga kecil serta penjaja, pada 2016.

MOHAMED AZMINBeliau berkata, cukai taksiran bagi rumah kampung tradisi dan rumah kos rendah juga dikecualikan selain perkhidmatan bas percuma Smart Selangor yang mendapat sambutan meriah daripada rakyat.

“Anggota perkhidmatan awam memerah keringat demi negeri, siang dan malam, banjir dan jerebu, untuk meningkatkan hasil sehingga melonjakkan pendapatan negeri kepada RM 2.4 bilion.

“Selangor maju dan akan terus subur ekoran lautan politik tidak berombak walaupun resam demokrasi membenarkan pertukaran kerajaan mentadbir, namun rakyat bersyukur peralihan kuasa mengikut iradat mereka berlaku secara teratur dan aman.

“Kestabilan juga terus kekal kerana perubahan dipayungi institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata, kesetiaan rakyat kepada raja dan negara juga kekal utuh seperti termasyhur dalam Rukun Negara.

“Institusi Raja Berperlembagaan, ibarat pembentung yang membulatkan muafakat rakyat, memayungi Selangor untuk kekal selamat, adil, maju dan makmur,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.