Categories
SELANGOR

72 majikan didenda gagal patuhi Perintah Gaji Minimum

SHAH ALAM 21 JAN: Sebanyak 72 majikan di Selangor didenda berjumlah RM134,600 sepanjang tahun lepas kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, Mohd Asri Abd Wahab, berkata kesemua majikan didakwa dengan 196 pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini mengaku bersalah dengan pertuduhan itu.

pekerja swasta“Selain itu, 43 majikan dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955.

“Jumlah bayaran kompaun yang dikutip sepanjang 2015 ialah sebanyak RM93,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya dalam tempoh sama, Pasukan Khas Penguatkuasaan JTK negeri juga menyiasat tiga aduan berkaitan isu eksploitasi buruh paksa dan pemerdagangan manusia di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Mohd Asri berkata tiga kes itu diselesaikan dan satu daripada majikan terlibat didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang serta dikenakan denda RM50,000.

“Seorang majikan mengeksploitasi lima warga saing dan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang, baki dua kes pula melibatkan dua mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah.

“Kesemua tujuh mangsa warga asing yang diselamatkan itu dihantar pulang ke negara asal setelah mendapat bayaran gaji tertunggak berjumlah RM68,000 daripada bekas majikan masing-masing,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.