Categories
NASIONAL

Afdlin Shauki: Tak bebas mengkritik dalam karya, hanya boleh berkias

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Golongan pengkarya seni negara ini hanya mampu berkias dalam karya seni masing-masing bagi menyampaikan sesuatu mesej berikutan pelbagai sekatan dikenakan pihak berkuasa.

Pengarah dan pelakon terkenal, Afdlin Shauki, berkata berbanding negara lain, pengkarya di negara terbabit lebih bebas melontarkan kritikan terbuka tanpa mengira sama ada melibatkan isu politik mahupun isu penting lain yang melibatkan kehidupan seharian masyarakatnya.

“Kita tidak 100 peratus bebas sebab masih ada lagi sekatan daripada pihak berkuasa. Kita masih tak boleh menceritakan masalah dalam negara ini. Kita tidak boleh.

“Setakat ini apa yang karyawan mampu buat hanya berkias dalam drama kehidupan tetapi drama itu boleh melambangkan sosio politik negara dan juga boleh melambangkan sesuatu keadaan yang sedang dilalui masyarakat,” kata Afdlin kepada SelangorKini.

AFDLINKatanya, selain melontarkan kritikan melalui kiasan, pengkarya seni turut berperanan menghiburkan masyarakat yang tertekan disebabkan pelbagai isu kehidupan dengan memasukkan elemen motivasi dan inspirasi dalam karya.

Ketika menyentuh filem arahannya yang kerap menampilkan kelainan dengan menyentuh kehidupan rakyat pelbagai kaum di negara ini, Afdlin berkata, itu merupakan sebahagian usaha beliau menyedarkan masyarakat bahawa negara ini adalah milik bersama.

“Mengubah sesuatu masyarakat tidak mudah kerana kita memang perlu banyak percubaan untuk mereka buka minda, seorang buat tak cukup, memang gagal tetapi kalau semua orang buat, akhirnya perkara itu akan diterima juga.

“Kita boleh mengubah minda dengan menunjukkan alangkah bahagianya sekiranya semua bangsa boleh duduk dalam harmoni, saling menghormati sebagaimana yang diinginkan oleh datuk nenek kita,” kata Afdlin lagi.

Sementara itu ketika bercakap mengenai perancangan kariernya pada tahun ini, Afdlin memberitahu beliau bakal kembali mengarah selepas ‘bercuti’ selama dua tahun.

“Tahun ini saya  kembali aktif mengarah filem selepas bercuti dua tahun. Filem itu ada unsur komedi dan ada juga unsur Islamik tetapi saya lebih suka katakan komedi berunsur kemanusiaan dan selain itu saya juga buka restoren di Johor yang bernama Comedy Planet serta mengembangkan perniagaan lain,” katanya.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.