Categories
SELANGOR

Dedikasi penjawat awam pemangkin kejayaan hasil RM2.528 bilion

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JAN: Dedikasi, kesungguhan dan profesionalisme penjawat awam pemangkin kejayaan Selangor meningkatkan hasil berjumlah RM2.528 bilion, kata Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam secara langsung dan tidak langsung dalam usaha meningkatkan hasil negeri.

“Perbendaharaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah juga semua penjawat awam akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan kutipan dari masa ke semasa. Kita akan terus berusaha meningkatkan hasil negeri untuk tahun ini,” katanya kepada SelangorKini.

Noordin berkata hasil usaha itu berjaya meningkatkan prestasi terbaik untuk negeri berbelanja demi kepentingan rakyat.

Selangor majuKatanya, dengan peningkatan hasil itu menunjukkan peningkatan RM558 juta berbanding anggaran hasil pada 30 September 2015.

“Pada 2014, hasil sebenar dikutip sebanyak RM2.225 bilion. Namun, berbanding dengan sehingga 31 Disember 2015, kutipan meningkat lebih RM300 juta daripada jumlah itu.

“Ia agak ketara dengan apa yang dianggarkan dalam ucapan Belanjawan 2015 yang mengalami defisit sebanyak RM452 juta. Hakikatnya, anggaran defisit menjadi lebihan RM232.7 juta,” katanya.

Beliau berkata antara faktor utama peningkatan hasil kutipan meningkat adalah hasil royalti bahan bantuan pasir berjumlah RM41.8 juta.

Kedua, peningkatan premium tanah berjumlah RM152.6 juta dan pelaburan Kerajaan Negeri di bank meningkat RM20.3 juta kepada RM97.6 juta.

“Keempat, denda dikenakan (denda lewat, cukai tanah) meningkat RM19.7 juta dan sumbangan bayaran ganti berkaitan inuiti (hasil bayaran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor) berjumlah RM6.3 juta,” katanya.

Selain itu, katanya, antara faktor lain ialah peningkatan kutipan Cukai Tanah sebanyak RM23.5 juta daripada RM449 juta kepada RM473 juta.

“Ini kerana hasil operasi bersepadu dijalankan jabatan Perbendaharaan Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah seluruh Selangor,” katanya.

Antara lain peningkatan Cukai Parit berjumlah RM12.9 juta kepada RM33.9 juta; Cukai Hasil Hutan berjumlah RM22.7 juta daripada RM25.8 juta kepada RM48.4 juta dan Cukai Hiburan berjumlah RM2.26 juta daripada RM49.4 juta hingga RM51.7 juta.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.