Categories
NASIONAL

Idea dua kerja jejas masa bersama keluarga

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 JAN: Saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan supaya rakyat membuat dua pekerjaan disifatkan tidak relevan kerana ia akan menjejaskan waktu bersama keluarga.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan membuat dua kerja sebagai nilai tambah dan bukan membebankan rakyat.

Katanya, secara purata rakyat sudah memperuntukkan lapan jam masa bekerja pada siang hari dan selebihnya masa bersama keluarga.

abdullah sani“Tidak relevan sama sekali ia memberikan nilai tambah kerana dalam Islam sendiri 24jam itu sudah diperuntukkan untuk bekerja, beribadah dan berehat.

“Jika ia diperuntukkan untuk bekerja dan meningkatkan pendapatan semata-mata, pembangunan keluarga pula akan terjejas kerana masa yang sepatutnya untuk berehat dan bersama keluarga digunakan untuk terus bekerja,” katanya kepada Selangor Kini.

Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata demikian ketika diminta mengulas sokongan dipamerkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin terhadap kenyataan Ahmad dalam isu ‘2 pekerjaan’.

Bung menerusi akaun Twitter semalam berkata, cadangan untuk membuat dua pekerjaan adalah bagi meningkatkan pendapatan.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.