Categories
SELANGOR

JPBD : Sungai Klang bakal bertukar wajah

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JAN: Sungai Klang bakal menjalani proses pembangunan dan pemuliharaan bagi memastikan ia berubah wajah dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor, Hassan Yaakob, berkata pihaknya kini sedang giat menjalankan kajian bagi menjayakan usaha itu.

Katanya, ia termasuk rancangan pembinaan pelbagai produk pelancongan dan mod pengangkutan untuk diketengahkan pada masa akan datang.

Sungai Klang 2“Sebelum ini ada kajian untuk tujuan pulihara sungai, namun apa yang saya perolehi selepas ditukarkan di sini, fail hanya ‘dibentang’ dalam almari.

“Sebab itu kita perlu merangka hasil sebelum ini untuk dilaksanakan,” katanya pada Bengkel Pelan Tindakan Pembangunan dan Pemuliharaan Sungai Klang, di Kelab Shah Alam, di sini.

Antara cadangan yang akan diketengahkan adalah ‘coffee table’ untuk diperkenalkan di persisiran sungai dan pengangkutan ‘river taxi’ serta ‘river bus’ secara terus ke Kuala Lumpur.

Hassan berkata, JPBD menyasarkan sekurang-kurangnya Sungai Klang berubah wajah ke tahap dua yang akan mengambil masa keseluruhan antara sepuluh hingga 30 tahun.

Pada masa sama, katanya, pihaknya mahu Sungai Klang dapat berfungsi sebagai pengkalan air untuk menampung bekalan air di Lembah Klang.

“Di Selangor, banjir tetapi kita tak cukup air sebab pengurusan sumber air tidak boleh diekploitasikan.

“Kerajaan Negeri terpaksa menggunakan air lombong, jadi dengan adanya pelan ini nanti kita dapat membantu kelangsungan sungai kembali pada asal,” katanya.

Bengkel selama dua hari itu membabitkan pembentangan kertas kerja Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi negeri, Dr Fahmi Ngah; Timbalan JPBD negeri, Hassan Yaakob dan Timbalan Pengarah bahagian pengurusan lembangan sungai, Datuk Mohd Azmi Ismail.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.