Categories
SELANGOR

Juara hafaz Al-Quran azam harumkan Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 JAN: Mohamad Omar Mansu berazam menjulang nama Selangor dengan menjuarai majlis menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan di Perak pada 15 hingga 20 Februari ini.

“InsyaAllah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk Selangor. Kalau rezeki muncul juara lebih bagus,” katanya kepada media di sini, semalam.

tilawah 4Penuntut Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah berusia 21 tahun itu mewakili daerah Sabak Bernam, muncul juara lelaki majlis menghafaz Al-Quran peringkat Selangor 2016.

Beliau yang mula menghafaz Al-Quran pada usia sembilan tahun mewakili daerah terbabit kerana sebelum ini menuntut di salah sebuah maahad tahfiz di sana.

“Dengan bimbingan guru, saya akan berusaha lebih gigih bagi mempersiapkan diri (untuk pertandingan peringkat kebangsaan),” kata naib juara kebangsaan tahun lalu yang kali pertama menyertai pertandingan peringkat negeri pada 2007.

Bagi juara wanita, Ainul Mardiah Md Pakhrurrazi, 20, turut menyimpan azam sama bagi mengharumkan nama Selangor.

“Saya perlu berusaha dengan memperbaiki hafazan dan tafsir. Untuk peringkat kebangsaan, saya memang sering menyasarkan muncul juara dan berharap berjaya,” katanya penuntut Kolej Pendidikan Intec (Intec), Shah Alam itu.

Wakil Hulu Langat itu adalah mantan pelajar Maahad Tahfiz Integerasi Sains dan Teknologi Istana Bandar, Jugra, Kuala Langat dan mula menghafaz Al-Quran pada usia 13 tahun.

Beliau mula menyertai pertandingan peringkat negeri pada 2011 ketika berusia 15 tahun dan pernah menjuarai kategori satu hingga 20 juzuk peringkat kebangsaan pada 2013.

Dengan kemenangan itu, Mohamad Omar dan Ainul Mardiah masing-masing menerima hadiah RM5,000, anugerah mengerjakan umrah, piala iringan, sepersalinan pakaian dan sijil penyertaan daripada Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah, yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir, wakil Menteri Besar, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ayha dan Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.