Categories
NASIONAL

Khalid dan Sabri fail permohonan saman Nurul Izzah

KUALA LUMPUR 28 JAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan permohonan membatalkan saman fitnah Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar berhubung dakwaan menuduhnya penderhaka negara.

Perkara itu dimaklumkan peguam N. Surendran dan Latheefa Koya mewakili Nurul Izzah selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin, lapor BERNAMA.

Nurul-IzzahProsiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Persekutuan Shaiful Nizam Shahrin mewakili Khalid dan Ismail Sabri yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman berkenaan.

Surendran berkata kedua-dua defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu semalam.

Sementara itu, Latheefa berkata pihaknya akan mengemukakan bantahan terhadap Jabatan Peguam Negara yang mewakili kedua-dua defendan dalam kes saman berkenaan.

“Dalam kes ini, kedua-dua defendan disaman atas kapasiti peribadi dan mereka tidak sepatutnya diwakili Jabatan Peguam Negara kerana anak guam kami tidak menamakan Kerajaan Malaysia dalam kes saman itu,” katanya.

Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai memfailkan saman itu pada 26 November 2015 dengan mendakwa Khalid mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis, Bukit Aman pada 22 November 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata perkataan fitnah itu dikeluarkan selepas beberapa hari gambar memaparkannya (Nurul Izzah) bersama Jacel Kiram, anak perempuan kepada Jamalulail Kiram yang dikatakan mengarahkan atau mengetuai serangan dan pencerobohan ke atas Sabah, pada 2013.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.