Categories
NASIONAL

Kemenangan sebenar lunaskan janji kepada rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mahu ahli parti supaya melaksanakan setiap janji dilaksanakan dan tidak menjadikan Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) baru-baru ini stesen terakhir kepada parti itu.

Katanya, semua pihak harus merumuskan formula terbaik dan sekiranya gagal, tiada jaminan untuk kekal menang dalam PRU seterusnya.

Beliau berkata, kemenangan sebenar kepada parti adalah kemenangan yang melunaskan janji kepada rakyat.

“Apakah yang dikatakan Malaysia Baharu? Selepas merasai pahit getir, di sebalik senyuman pastikan parti terus berpegang kepada idealisme. Berkhidmat beri kebajikan.

“Kita mahu supaya kekuatan kita ini berjaya melunaskan janji. Kita sudah menang. Kita belajar perjuangan perlukan pengorbanan ahli parti, perlukan pembelaan.

“Saya terkesan melihat rakyat beratur untuk mengundi. Bersusah payah hadir, dalam panas. Beri penghormatan demokrasi. Jika bercakap mengenai islah, haruslah kita berubah ke aras kebaikan, lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Nurul Izzah berkata, sebagai sebuah parti yang besar dan memperjuangkan agenda reformasi, reformasi undang-undang perlu diberi perhatian.

“Pada saya, ukuran kejayaan, reformasi undang-undang perlu tidak lagi disalah guna. Undang-undang yang boleh diguna jika kita benci seseorang.

“Nyahkan undang-undang ini kerana kita percaya agenda reformasi, kita percaya rakyat boleh pilih parti mana yang mereka mahukan,” katanya.

Beliau berkata, reformasi ekonomi seperti simpanan isteri menerusi Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) merupakan isu keselamatan sosial yang dicontohi.

“Subsidi kepada rakyat perlu diuruskan, boleh terima dan diberi secara tuntas. Namun, kita pastikan mereka yang menerima rasuah perlu dihadapkan ke mahkamah.

“Jadilah parti terulung bukan parti yang dilupakan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Suruhanjaya TVET dan Industri perlu diwujudkan untuk penyelarasan lebih cekap

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Nurul Izzah Anwar menegaskan keperluan mewujudkan Suruhanjaya TVET dan Industri di bawah Parlimen adalah untuk penyelarasan yang lebih cekap dalam bidang itu.

Katanya, suruhanjaya itu antara lain perlu berfungsi sebagai penggerak utama dalam usaha meningkatkan TVET dengan menyelaraskan tujuh kementerian yang bertanggungjawab sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga mahir negara.

“Kita dengar banyak benar kementerian yang mengawal selia, jadi semua ini, Insya-Allah, saya gabungkan menerusi Rang Undang-Undang untuk menubuhkan Suruhanjaya TVET dan industri.

“Bertahun-tahun Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) mengalami masalah ini, dan pada saya kalau kita nak selesaikan, kita kena pergi ke pangkal masalah dan kita harus berani melakukan sesuatu, dan akhirnya Parlimen harus jadi badan yang terulung untuk mengawal selia, JPK patut diletakkan di bawah Parlimen,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini malam tadi.

Nurul Izzah berkata beliau komited dan fokus dalam bab legislatif iaitu melaksanakan suruhanjaya ini dan menegaskan keperluan penyelarasan dalam mengawal selia kesemua tujuh kementerian sedia ada.

“Kalau kita tengok mana-mana negara lain, di United Kingdom contohnya ada Ofsted. (The Office for Standards in Education, Children’s Services and Skills) Ofsted nak tutup (industri), atau buka, dialah berkuasa. Jadi di sini, kita perlu ada Suruhanjaya TVET. kenapa? Untuk mengawal selia tujuh kementerian,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional telah meletakkan tujuh kementerian bagi pelaksanaan TVET iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Kementerian Sumber Manusia sebagai penyelaras.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah pertahan jawatan Naib Presiden KEADILAN

PETALING JAYA 5 OGOS: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mempertahankan kerusi Naib Presiden KEADILAN apabila borang pencalonan beliau dihantar Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil pada jam 3 petang tadi.

“Saya juga bantu masukan borang pencalonan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah.

“Beliau tidak dapat datang kerana berada di kawasannya untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat,” kata Fahmi lapor SINAR HARIAN.

Sementara itu, Fahmi turut mengumumkan beliau menghantar borang pencalonan bertanding sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

Proses pencalonan bagi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal 2018-2021 bermula hari ini dengan proses penyerahan borang bermula pukul 9 pagi, dan dijadualkan tamat pada 5 petang nanti.

Untuk pemilihan kali ini, sekitar 800,000 ahli parti itu akan diberi tanggungjawab untuk memilih pimpinan mereka yang baharu.

Categories
NASIONAL

Wujudkan jawatankuasa Parlimen berkaitan pemerkasaan Syariah

KUALA LUMPUR, 30 JUL: Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar menggesa diwujudkan jawatankuasa Parlimen berkaitan pemerkasaan syariah.

Beliau berkata ia boleh menjadi wadah untuk anggota Parlimen membincangkan pelbagai perkara secara holistik dan menyeluruh bagi merungkai permasalahan rakyat mengenai isu-isu berkaitan secara terperinci termasuk pernikahan bawah umur.

Katanya, jawatankuasa itu perlu dipimpin golongan agamawan dan bukan daripada kalangan ahli politik.

“Isu-isu dapat dibangkitkan secara forum yang turut diwakili pihak kerajaan dan parti pembangkang,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa Parlimen berkaitan perpaduan negara dan integrasi nasional bagi mengekalkan keharmonian negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah umum tanding pemilihan parti kelak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar hanya akan mengumumkan kesediaannya untuk bertanding dalam Pemilihan Tertinggi Parti itu sekiranya wujud keperluan mengenainya diputuskan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, sebarang pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat.

“Saya akan umumkan dalam tempoh terdekat. Keutamaan pada saya kini adalah untuk bekerja dan menghadiri program sebagai Ahli Parlimen.

“Saya sudah putuskan akan umumkan kelak,” katanya ringkas kepada pemberita pada majlis di Institut Jantung Negara, pagi ini.

Untuk rekod, Nurul Izzah dipilih sebagai Naib Presiden parti itu untuk tempoh dua penggal.

Sebelum ini, wujud spekulasi beliau akan kekal bertanding pada pemilihan parti berkenaan yang dijangka akan diadakan bulan depan.

Terdahulu, Nurul Izzah menegaskan keperluan untuk semua ahli KEADILAN mengimbau sejarah penubuhan parti, berbanding memberi keutamaan kepada kedudukan dalam parti.

Beliau berkata, pandangan itu dilontarkannya atas dasar antara individu yang menggerakkan kepada penubuhan KEADILAN, pada 1998.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah tepis berita tular perkahwinan diraja

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 MEI: Nurul Izzah Anwar menafikan mesej palsu yang sedang tular di media sosial mengatakan bahawa beliau akan berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Memetik laporan mStar Online, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menolak dakwaan itu dan menegaskan bahawa ada perkara yang lebih penting perlu difokuskan.

“Tolong abaikan berita palsu yang disebar. Terima kasih.

“Marilah kita semua memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang ada, menyelamatkan ekonomi Malaysia,” katanya.

Terdahulu, ibu bapa Nurul Izzah yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim menemui bonda Sultan Muhammad V, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota di Kubang Kerian pada 24 Mei lalu.

Lawatan itu merupakan yang pertama kepada Wan Azizah selepas diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ia adalah pertemuan tertutup yang berlangsung selama sejam.

Bagaimanapun, mesej tular itu memutar fakta dan mengatakan bahawa Anwar dan Wan Azizah bertemu dengan Raja untuk membincangkan perkahwinan.

Categories
NASIONAL

PAKATAN tekad menang PRU-14, kembalikan kuasa rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

PERMATANG PAUH, 23 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) bertekad memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mengembalikan kuasa rakyat yang tidak diperoleh di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, kemenangan itu penting supaya PAKATAN mampu melaksanakan menerusi prinsip keadilan yang membawa kebaikan untuk semua dan mengangkat martabat rakyat.

“Ia membawa maksud kita mahu menang supaya rakyat dapat menjadi ‘Yang Berhormat’ dalam erti kata sebenar.

“Kita mahu menang untuk menunaikan janji dalam 100 hari supaya kemelut ekonomi dihadapi rakyat menerusi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dapat dimansuhkan secara berperingkat.

“Komitmen kita untuk mengangkat darjat ekonomi, sosial, pendidikan dan yang lain seterusnya memberi peluang pekerjaan untuk anak muda,” katanya dalam Majlis Bertemu Rakyat bersama Azmin Ali di Keadilan Square di sini, semalam.

Beliau berkata, anak muda masa kini tidak mendapat peluang secukupnya di bawah Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno-BN dengan lapan daripada sepuluh peluang diperoleh tenaga kerja asing.

Bagaimanapun, katanya, rakyat perlu memberi sokongan kerana bakal berhadapan dengan jentera Umno-BN yang penuh berliku kerana mahu memberi kelebihan melalui beberapa saluran termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memenangkannya.

“Simbol KEADILAN untuk menyelamatkan gabungan PAKATAN atas ketidakadilan Umno-BN menafikan hak parti untuk mengguna pakai simbol mereka.

“Kita jawab panggilan keadilan kerana dipilih untuk memperjuangkan nasib rakyat dan negara,” katanya PAKATAN telah berkemampuan mentadbir melalui Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, langkah seterusnya bagi PAKATAN adalah berkaitan pembebasan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jun nanti.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Netizen terhibur lihat tutorial tudung Nurul Izzah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 APR: Gelagat Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di instagram mencuri tumpuan netizen.

Melalui laman instagram peribadi Nurul Izzah itu, beliau memuatnaik gambar tutorial tudung bersama ibunya Dr Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN.

Netizen mahupun penyokong kedua-dua wanita itu cukup mengenali gaya tudung mereka yang seringkali dilihat di kaca televisyen mahupun media sosial.

Mencuit hati apabila kali ini Dr Wan Azizah dilihat merelakan dirinya mencuba fesyen tudung yang seringkali digayakan anak sulungnya itu.

Nurul Izzah dalam instagramnya berkata, itu adalah hari ‘membuli’ ibu tercinta dengan cuba menggayakan tudung seperti.

“Saya bersyukur dengan anugerah serta keajaiban yang datang dalam keluarga kita, ibu. Malah saya bersyukur dengan ikatan kekeluargaan kuat yang terbina lebih daripada dua dekad ini.

“Maafkan saya kerana kekurangan saya dan sewaktu saya menyakiti hati ibu. Anda umpama ‘gam’ yang mengikat hubungan keluarga kita dan Papa (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah orang yang paling beruntung kerana memiliki anda yang sentiasa berada di sisinya setiap masa,” katanya dalam laman berkenaan.

Gambar yang dikongsi Nurul Izzah itu mendapat lebih 17,000 kesukaan dari pengguna instagram dengan lebih 300 komen.

Salah seorang pengguna intagram, ‘ummie4af’ mengakui tersentuh melihat gambar kedua-dua ibu dan anak tersebut.

“Semoga ALLAH SWT panjangkan usia Dr Wan Azizah dan semoga Datuk Seri Anwar kembali ke pangkuan keluarga, dan semua ahli keluarga bersatu tidak lama lagi”.

Sementara itu bagi ‘faramk’ berkata, dirinya sentiasa mendoakan keluarga berkenaan setiap hari.

“Semoga ALLAH berikan anda ganjaran syurga dan ALLAH sentiasa bersama anda setiap masa,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

SPR perlu profesional & telus, bukan condong ke arah BN

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 APR: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) didakwa tidak bersikap adil apabila menyatakan Pakatan Harapan (PAKATAN) hanya boleh menggunakan lambang KEADILAN untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14), selepas mendapat kelulusannya.

Tindakan itu dianggap tidak mencerminkan ketelusan agensi berkenaan dan dilihat condong memihak kepada Umno-Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berhubung perkara itu tidak selari dengan fungsinya sebagai badan bebas dipertanggungjawabkan bagi mengendalikan pilihan raya di negara ini.

“Entah apa-apa SPR. Kalau padang tidak sama rata, penjaga gol pun mengalahkan penyerang pihak lawan, baik tak payah anjur pilihan raya.

“Bertandinglah bawah BN,” katanya di laman twitter, @n_izzah.

Umno-BN pernah menggunakan pendekatan sama apabila Naib Presiden PERKASA, Zulkifli Noordin yang dianggap ‘calon rakan’ menggunakan lambang parti itu dan bertanding di Parlimen Shah Alam pada PRU13 lalu.

Dalam sidang media hari ini, Mohd Hashim berkata, PAKATAN perlu mendapat kebenaran SPR bagi menggunakan lambang KEADILAN untuk bertanding dalam PRU14.

Semalam, PAKATAN membuat pengumuman rasmi akan menggunakan lambang KEADILAN dalam PRU akan datang.

Pengumuman itu dibuat Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada siri kemuncak Jelajah Pakatan Harapan yang berlangsung, di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Program Sentuhan Rakyat bukti GST membebankan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APR: Program Sentuhan Rakyat anjuran Barisan Nasional (BN) yang menjual lebih 30 barangan asas pada harga murah bukti pengakuan Kerajaan Umno-Barisan Nasional bahawa rakyat terbeban dengan kos sara hidup tinggi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan kesan pelaksanaan GST terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat adalah satu bukti mudah Kerajaan BN tidak mempedulikan ekonomi rakyat.

“Kemungkinan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) tidak menyedari bahawa Indeks Harga Pengguna telah meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada bulan Februari 2017, sebanyak 4.5 peratus?

“Justeru, bagaimana Kerajaan boleh terus menafikan impak GST antara kesan kitaran ringgit domestik terjejas?

“Isu kenaikan kos sara hidup ini bukan hanya diangkat Pembangkang tetapi juga disuarakan perwakilan di Perhimpunan Agung Umno saban tahun,” katanya dalam kenyataan di Parlimen.

Menurutnya, janji BN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 2014 bahawa harga barang akan dikawalselia dengan baik dan pengambilan untung keterlaluan tidak akan berlaku selepas pelaksanaan GST disifatkan sebagai ‘fake news’ semata-mata.

Katanya, sebagai pemimpin utama negara, Ahmad Zahid sepatutnya sedar impak pelaksanaan cukai regresif GST menyebabkan manipulasi harga barang sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.

“Menjelang pelancaran manifesto BN pada 7 April ini, sata jangka BN akan mengumumkan kadar pengurangan cukai atau penambahan senarai barangan sifar GST.

“Ini semua tindakan ikhtiar akhir setelah BN khuatir kerana tekad Pakatan Harapan adalah menghapuskan GST. Ini bukti jelas rakyat benar-benar terkesab dengan penetapan cukai regresif,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Banyak permohonan kemasukan TVET tapi peluang terhad

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhadapan masalah menempatkan pelajar ke pusat institusi kemahiran walaupun menerima permohonan kemasukan hampir 140,000 sejak 2016 hingga 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata sehingga kini, tujuh peratus daripada murid lepasan tingkatan tiga mengikuti pendidikan vokasional di bawah institusi pendidikan dibawah KPM.

“KPM sedang mengkaji segala bentuk peluang yang membolehkan pemberian peluang kepada anak muda khususnya masih berada di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di Dewan Rakyat.

Pada 2016 sebanyak 72,000 permohonan kemasukan ke institut kemahiran diterima dengan kapasiti peluang sebanyak 16,000 manakala 66,000 permohonan dengan 17,000 peluang bagi tahun 2017.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kementerian melaksanakan bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, Kementerian Kerjaya Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut terlibat dengan penyelarasan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“KPM turut melakukan tiga fasa promosi untuk meningkatkan kadar kemasukan pelajar dengan fasa pertama adalah proses pengambilan pelajar ke kolej vokasional.

“Fasa kedua adalah mempromosikan aktiviti pelajar dalam kolej vokasional dan memberikan penjelasan bahawa pelajar vokasional berpeluang memperoleh pekerjaan dengan pendapatan lumayan selain menjadi usahawan muda,” katanya.

Mengulas soalan tambahan dikemukakan Nurul Izzah yang menyentuh soal pengurusan tabung memperkasa pelan induk pembangunan TVET bernilai RM4.9 bilion, Kamalanathan menjelaskan KPM akan memantau segala aktiviti perbelanjaan yang dilakukan dengan meletakkan wakilnya di dalam setiap jawatankuasa induk.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Akhirnya doktor HKL akui, Anwar sakit

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 NOV : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar meragui jaminan keselamatan Kerajaan Malaysia terhadap bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah berkata, terdapat banyak kelemahan pengurusan keselamatan tahanan politik di peringkat Kerajaan Persekutuan kini.

Beliau mengaitkan insiden kecederaan yang dialami bekas Ketua Pembangkang itu ketika dipenjarakan pada 1998, apabila Anwar mengalami kecederaan fizikal serius dipukul bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor.

“Itu hakikat yang tercatat dalam sejarah,” katanya ketika bercakap pada majlis ringkas mendoakan kesejahteraan Anwar di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, di Seksyen 7, malam tadi.

Pada masa sama kata Nurul Izzah, kemalangan kenderaan yang membawa Anwar dari Hospital Kuala Lumpur ke Penjara Sungai Buloh, baru-baru ini menguatkan lagi persepsi terhadap kegagalan sistem keselamatan tahanan politik di negara ini.

“Apabila kemalangan boleh berlaku ketika di bawah pengawasan pihak berkuasa, kami (keluarga) tidak boleh menunggu lagi.

“Oleh sebab itu, Anwar perlu dibebaskan dan perkara ini diperakui sendiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Anwar adalah tahanan politik yang perlu dibebaskan,” katanya.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun. Dalam tempoh menjalani hukuman, Anwar dikatakan mengalami kesakitan teruk susulan daripada kecederaan lama ketika terlibat dalam kemalangan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 2014.

Kecederaannya semakin menurun apabila pihak keluarga mendakwa Anwar dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan fisioterapi ketika di penjara.

Susulan itu kata Nurul Izzah, pelbagai usaha dijalankan pihak keluarga bagi memastikan Anwar mendapat akses rawatan terbaik bagi mengurangkan kesakitan dialami tokoh reformasi itu.

Kata Nurul Izzah, ini termasuklah membangkitkan perkara itu di Parlimen dan mengadakan demonstrasi aman menuntut Anwar diberikan hak sebaiknya sebagai tahanan politik nombor satu di Malaysia.

“Ini merupakan perjuangan yang bukan mudah, bertahun kita bawa perkara ini di Parlimen dan bermacam-macam lagi.

“Akhirnya sebulan lepas setelah apa yang berlaku, doktor Hospital Kuala Lumpur mengakui bahawa Anwar memerlukan rawatan fisioterapi secara insentif sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu,” katanya.

Ahad lalu, Anwar dilapor selesai menjalani pembedahan bahu kanannya lebih empat jam, di Hospital Kuala Lumpur.

=EZY=