Categories
SELANGOR

“Mak, boleh ke kaki tumbuh balik?”

Oleh: SYASYA SUFIAN

KLANG, 20 JAN: “Mak, boleh ke kaki tumbuh balik?” Pertanyaan sayu itu dilontarkan Siti Nuraisyah Sahrin sebaik sahaja menyedari kedua belah kakinya putus digilis lori dalam satu kemalangan pada 18 Januari lalu.

Soalan itu membuatkan ibunya terkedu dan sedih mengenangkan nasib anak kesayangannya.

IMG_3915Bapa tiri mangsa, Roslan Sardi, 40, yang menganggap Nuraisyah sebagai anak sendiri mengakui bahawa beliau juga terkesan terhadap peristiwa menimpa mangsa.

Menganggap insiden itu sebagai takdir, Roslan bagaimanapun mahu tindakan sewajarnya diambil bagi membela nasib Nuraisyah.

“Kedua pemandu perodua Kancil dan lori terbabit membuat laporan polis mengaku tidak bersalah, tetapi bagaimana kaki anak saya boleh putus?

“Sebagai bapa, saya inginkan yang terbaik untuknya, lebih sebak apabila dia tanya isteri saya, bolehkah kakinya tumbuh semula.

“Saya dan isteri jadi terkedu dan kami hanya mampu beri kata-kata semangat supaya dia terus bersabar,” katanya kepada SelangorKini.

Roslan berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat kes terbabit yang sedang dalam siasatan.

IMG-20160120-WA0018Beliau juga mengucapkan terima kasih atas bantuan diterima daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Namun, sebanyak mana bantuan yang datang tidak mampu menggantikan kaki anak saya yang hilang, jadi kemi mengharapkan bantuan dari segi mental dan emosi.

“Kami sekeluarga juga akan memberi lebih perhatian dan kasih sayang supaya dia tabah dan bersemangat seperti dahulu,” katanya.

Nuraisyah dan keluarga baru menetap di Kampung Belia 2 beberapa bulan lalu serta bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap.

Beliau adalah anak keempat daripada tujuh adik beradik.

Dalam kejadian malang Isnin lalu, Nuraisyah putus kedua kakinya selepas digilis lori, manakala kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14, yang menunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan di kaki kanan dan kiri.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.