Categories
SELANGOR

MB: Kualiti air mentah Pahang dikaji

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JAN: Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) sedang mengkaji kualiti bekalan air mentah daripada Pahang sebelum menentukan sebarang tindakan susulan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kajian itu penting berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan Pahang membenarkan pelombongan bauksit hingga mengakibatkan sungai dan laut menjadi merah.

Azmin Air“Kerajaan Negeri sudah mengambil ketetapan untuk membuat kajian tentang kualiti air yang dibekalkan dari Pahang ekoran aktiviti perlombongan bauksit.

“Dalam perjanjian apabila kita teliti semula, Pahang menjanjikan air dibekalkan itu adalah air berkualiti dan menjamin keselamatan pengguna,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Pemeliharaan Hutan Aeon Mall Shah Alam.

Berdasarkan perjanjian air ditandatangani pentadbiran sebelum ini menyaksikan Pahang bakal membekalkan air mentah kepada Selangor dalam projek Langat 2.

Kata Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri bertanggungjawab terhadap kualiti bekalan air kepada rakyat dan keputusan kajian diketahui dalam tempoh dua bulan.

“Sudah tentu air ini dirawat tetapi kalau ia dalam kategori empat atau membahayakan, pastinya kos untuk merawat air ini akan lebih besar dan membebankan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sudah mengadakan perbincangan khas mengenai fenomena El Nino.

Katanya, persiapan sedang dibuat bagi memastikan bekalan air kepada rakyat mencukupi dan tidak diganggu ekoran El Nino dijangka berlaku dalam tempoh panjang sehingga September 2016.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.