Categories
SELANGOR

Nuraisyah perlu kaunseling pulih semangat

Oleh: SYASYA SUFIAN

KLANG, 20 JAN: Khidmat kaunseling perlu diutamakan bagi memulihkan semangat Siti Nuraisyah Sahrin yang trauma selepas kehilangan kedua belah kaki akibat digilis lori.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata langkah itu perlu diambil segera bagi membantu mangsa mengawal mental dan emosi.

Datuk Rohani“Jika kita tidak tangani masalah trauma secepat mungkin dengan khidmat kaunseling, kita bimbang ia bakal memudaratkan adik Nuraisyah.

“Kakak mangsa juga perlu menjalani proses kaunseling kerana mungkin beliau trauma melihat adiknya dilanggar lori,” katanya ketika menziarahi Nuraisyah, 13, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rohani berkata, bantuan daripada segi keperluan juga akan diberikan kepada mangsa jika memerlukan.

Namun, katanya, sokongan dan perhatian lebih daripada ahli keluarga dan masyarakat amat penting untuk memulihkan semangat Nuraisyah.

“Kita sudah memberi sumbangan kerusi roda yang dibuat khas dari Pusat Latihan dan Perindustrian Bangi untuk kemudahan perjalanan beliau mendpatkan rawatan.

“Kita juga akan mendapatkan ukuran tepat daripada doktor pakar untuk membuat kaki palsu,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.