Categories
SELANGOR

Penerima hak milik tanah gembira berbaur sedih

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 18 JAN: Di sebalik perasaan gembira kerana diberi hak milik tanah didiami keluarganya sejak 30 tahun lalu, jauh di lubuk hati Mohd Idaham Mustafa terselit perasaan sedih dan terkilan ekoran kegembiraan ini tidak dapat dikongsikan bersama bapanya.

Peniaga berusia 30 tahun itu berkata, pesanan Allahyarham bapanya supaya tidak berputus asa menjadi pendorong utama untuk beliau terus berusaha gigih mendapatkan hak milik tanah kediaman mereka sekeluarga.

MB“Alhamdullilah, dah selesai. Bapa saya dah meninggal pada 2013, jadi tanah ini kami letak nama dia. Sebelum itu Allahyarham selalu ingatkan saya selesaikan hal tanah ini hinggakan masa dia sakit juga dia asyik minta saya selesaikan hal tanah, suruh saya pergi ke pejabat tanah sebab itulah saya uruskan sampai berjaya.

“Hari ini bapa dah tak ada, memang sedih tetapi saya lega kerana saya dapat juga tunaikan hasrat bapa untuk selesaikan pemilikan tanah ini.

“Memang nampak kesungguhan Kerajaan Negeri sekarang selesaikan hak milik tanah yang tak selesai-selesai dah 30 tahun. Terima kasihlah Kerajaan Negeri,” kata anak kelima daripada tujuh adik beradik itu.

Mohd Idaham menambah, ketika ini rumah yang dibina Allahyarham bapanya di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda itu didiami beliau dan dua adiknya yang masih belum berkahwin.

Hussin Ahmad, 74, pula terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk menjawab ketika diwawancara ekoran terlalu sebak apabila mengenangkan pengalaman pahit dan manis ditempohi untuk mendapatkan hak milik tanah di kampung sama.

“Sangat gembira bila dapat tanah yang dah diusahakan lebih kurang sejak tahun 1962 dan pada 1979 saya mula buat rumah. Sampai sekarang dah 30 tahun tinggal sini.

“Dulu bila lepas habis berkhidmat dalam tentera saya juga pernah cuba mohon tanah di Sepang tetapi ditolak,” kata bekas Pegawai Waran 2 itu.

Seorang lagi penerima hak milik tanah kediaman Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Abdul Rahman Awang pula berkata beliau sebelum ini tetap menaruh keyakinan usahanya mendapatkan hak milik tanah akan tercapai.

“Syukur. Perasaan saya amat gembira tak boleh ungkap kegembiraan saya sebab dah menunggu 30 tahun lebih untuk dapat hak milik tanah rumah saya di sebelah masjid ini.

“Hari inilah saya rasa betul-betul tinggal dan ada hak milik tanah sendiri. Saya mula buat rumah secara beransur-ansur pada 1979 sebab tidak cukup kewangan, terpaksa pinjam sikit-sikit pada saudara-mara dan akhirnya siap dan pada 1983 kami pindah masuk ke sini.

“Pada masa itu, pelbagai ikhtiar dah dibuat, ulang-alik adakan mesyuarat, kutip duit, jumpa peguam tetapi semua tak berjaya tetapi Alhamdullilah dengan Kerajaan Negeri sekarang boleh jadi kenyataan. Manusia berubah, kerajaan juga berubah tetapi tuhan tetap bersama dengan kita,” kata Dr Abdul Rahman.

Sebelum itu, pada majlis penyerahan hak milik tanah yang dilangsungkan hari ini, seramai lapan penduduk Kampung Dato’ Abu Bakar menerima hak milik tanah yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Majlis itu turut dihadiri, Exco Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.