Categories
SELANGOR

Selangor Bio Bay pusat pelaburan berimpak tinggi global

Oleh : AFEEQA AFEERA

PULAU INDAH, 12 JAN: Selangor Bio Bay bakal menjadi pelaburan berimpak tinggi melalui penghasilan produk bioteknologi dan sains hayat.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd, Mahmud Abbas, berkata ia adalah industri masa hadapan bagi mewujudkan pembangunan komprehensif di negeri itu.

Katanya, Bio Bay juga menerapkan pemeliharaan alam sekitar seperti pembinaan trek basikal dan taman rekreasi untuk kemudahan masyarakat di Pulau Indah.

land spectrum“Selangor melihat bioteknologi adalah industri masa hadapan, tetapi industri lain seperti pembuatan juga masih penting namun kita mahu usahakan sesuatu ke hadapan.

“Pembangunan Bio Bay menghadap pelabuhan di samping kita mewujudkan kondominium, kelab perahu layar untuk menggalakkan sukan air serta beberapa kemudahan mesra alam lain,” katanya kepada SelangorKini.

Mahmud berkata, Bio Bay adalah selaras konsep Selangor Smart City yang diterapkan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang memiliki kepelbagaian ciri dan infrastruktur.

Katanya, Central Spectrum memfokuskan kepada pembinaan taman rekreasi tahun ini sebelum disusuli pembangunan lain secara berperingkat pada 2017.

“Kawasan itu memiliki sungai yang ditanam bakau dan orang ramai boleh menjalankan aktiviti kayak kerana kita mahu memelihara alam sekitar dan membangunkannya dengan konsep Smart Selangor.

“Kita ada pelbagai rancangan untuk Bio Bay bagi memberi kemudahan kepada masyarakat dan diharapkan sebahagiannya dapat siap menjelang tahun ini,” katanya.

Selangor Bio Bay dibangunkan di Pulau Indah dengan keluasan 1,070 ekar serta memberi fokus untuk menarik pelaburan dalam industri perubatan dan sains hayat berteknologi tinggi.

Ia adalah kesinambungan kepada pelan perancangan strategik sektor perindustrian seperti di Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Raja menerusi Central Spectrum.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.