Categories
SELANGOR

Selangor buat persiapan hadapi El Nino, tingkat kapasiti air

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Negeri akan melaksanakan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat dan beberapa inisiatif lain bagi memastikan kesinambungan bekalan air dibekalkan kepada pengguna.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pembenihan awan dijalankan seperti tahun lepas di beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai bagi meningkatkan kuantiti sumber air.

empangan SelangprKatanya, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air terbabit.

“Operasi pengepaman sudah bermula pada 8 Januari yang lalu dengan jumlah pengeluaran sebanyak 200 juta liter sehari (JLH). Jumlah pengeluaran ini ditingkatkan lagi dengan berfasa daripada 10 kolam digunakan,” katanya dalam kenyataan media.

Zaidy berkata pelepasan air empangan bagi memastikan pelepasan dilaksanakan secara optimum dengan mengambil kira sumber air sedia ada.

“Berdasarkan perkiraan sumber air sedia ada dan jumlah pelepasan maksimum tanpa hujan bagi setiap empangan, anggaran jangka hayat takungan empangan sehingga ke tahap simpanan kritikal adalah 106 hari bagi Empangan Klang Gates, 80 hari bagi Empangan Langat, 220 hari bagi Empangan Tasik Subang, 189 hari bagi Empangan Batu, dan 229 hari bagi Empangan Semenyih.

“Manakala dengan pelepasan maksimum 1,200 JLH, Empangan Sungai Selangor dapat bertahan sehingga 134 hari dan Empangan Sungai Tinggi selama 67 hari dengan pelepasan maksimum 1,000 JLH.

“Pengepaman air daripada Empangan Semenyih ke Langat yang dianggarkan 70 JLH untuk memastikan sumber air mencukupi bagi loji pembersihan air (LPA) Sungai Langat dan mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air daripada Empangan Langat,” katanya.

Beliau berkata penyaluran air dari terowong Langat 2 ke Sg. Langat juga dilakukan bagi tujuan untuk memberdaya ketahanan Sg. Langat untuk LPA Sg. Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11.

“Penyaluran sebanyak 300 JLH ini akan diaktifkan apabila kapasiti Empangan Langat mencecah 45 peratus dan seterusnya menyediakan sumber air tambahan melalui dua kolam warta orang asli di kawasan Hulu Langat.

“Ia untuk kegunaan LPA Bukit Tampoi bagi memastikan kelangsungan bekalan air daripada loji itu serta mengelakkan pencemaran akibat peningkatan parameter Mangan dan Ammonia di dalam sungai,” katanya.

Zaidy yakin Kerajaan Negeri dengan keupayaan takungan empangan mampu menyediakan sumber air mentah yang mencukupi sepanjang musim kering yang bermula pada bulan Januari ini.

Katanya, hal itu kerana kapasiti empangan terkini menunjukkan paras lebih tinggi berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas.

Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi adalah merupakan empangan utama dalam pembekalan air di Selangor iaitu meliputi 60 peratus daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berdasarkan rekod, penggunaan air per kapita bagi rakyat di Negeri Selangor adalah pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari.

“Di seru pengguna mengurangkan per kapita penggunaan air setiap isi rumah. Ini adalah salah satu langkah memastikan kelangsungan bekalan air,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.