Categories
SELANGOR

Isteri ADN Sekinchan meninggal dunia

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 FEB: Isteri kepada Ahli Dewan Negeri Sekinchan (ADN) Sekinchan, Er Bee Ha meninggal dunia akibat kanser payudara pada jam 1.15 petang hari ini.

Ng Suee Lim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Kira-kira Wang (PAC) Negeri, berkata Bee Ha mula dikesan menghidap kanser pada 2004, namun pulih setelah menerima rawatan kemoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

12806206_10205866960013530_8875100714456124992_n“Selepas 11 tahun, kanser itu kembali merebak ke tulang dan otak sehingga keadaan isteri menjadi sangat kurus.

“Awal pagi tadi beliau tidak boleh minum, kami membawanya berjumpa doktor namun dinasihati untuk pulang ke rumah dan beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya yang kelihatan sugul.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan ziarah Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama isteri, Datin Seri Shamshida Taharin serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman.

“Beliau menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan kesediaan untuk membantu jika saya memerlukan.

“Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinannya dan rakan-rakan. Apapun, saya akan uruskan pengebumian terlebih dahulu,” katanya.

Isterinya akan dikebumikan pada 1 Mac ini (Selasa) dan sesiapa yang mahu melakukan penghormatan terakhir boleh hadir ke rumah Suee Lim di Jalan Magnesium, Seksyen 7.

3003768547_00d2fa62bfMeninggal pada usia 43 tahun, Bee Ha bergelar isteri kepada Suee Lim selama 22 tahun dan mereka dikurniakan tiga anak iaitu dua lelaki dan satu perempuan.

Beberapa pemimpin turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Suee Lim, antaranya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ADN Batu Tiga, Rodziah Ismail.

“Kak Wan mendapat makluman bahawa isteri Ng Suee Lim, Ahli Dewan Negeri Sekinchan meninggal dunia sebentar tadi.

“Beliau bertarung dengan kanser setelah sekian lama, salam takziah buat Suee Lim atas kehilangan isteri tercinta, semoga terus tabah,” tulisnya di Facebook.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.