Categories
SELANGOR

MB: Ayuh, bersatu demi perubahan

SHAH ALAM, 27 FEB: Semua pihak baik parti politik, organisasi masyarakat, pemimpin mahupun individu perlu bersatu sebagai rakyat prihatin demi menyelamatkan negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata masanya sudah tiba untuk rakyat bangkit atas perbezaan dengan hasrat mengambil alih tampuk kepimpinan negara yang lemah.

Katanya, rakyat tidak wajar menderita atas ketidakadilan berlaku di tangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.

azmin-pc-DNS-01“Skandal kewangan, kegagalan institusi negara, sekatan ke atas hak dan kebebasan rakyat sehingga terbungkam nilai bersama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus menjadi pendorong untuk menyatukan kita semua demi melaksanakan reformasi.

“Rakyat tidak boleh lagi bertolak ansur dengan pelanggaran hak asasi, malah tidak wajar menderita atas ketidakadilan berlaku di tangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.

“Mereka berhak mendapat kehidupan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengalu-alukan kenyataan tegas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak supaya berlaku reformasi dalam institusi negara.

Katanya, pendirian itu selaras dengan perjuangan KEADILAN, parti pembangkang dan masyarakat madani yang dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ikhtiar bersama ini perlu dijadikan kenyataan demi mengembalikan negara di atas jalan demokrasi yang tulen.

“Kita masih belum terlambat untuk melakukan perubahan seperti mana Tan Sri Muhyiddin, hasrat dan cita-cita rakyat juga untuk merealisasikan sebuah kerajaan adil, amanah dan jujur.

“Ayuh, jangan menoleh lagi. Kita harus bersatu demi perubahan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.