Categories
SELANGOR

MPK sedia garis panduan perniagaan babit warga asing

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 20 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang mengkaji garis panduan baru berhubung aktiviti perniagaan membabitkan warga asing.

Yang DiPertua MPK, Datuk Mohd Yasid Bidin, berkata ia merangkumi permohonan lesen pekerja warga asing.

MPK“Ketika ini kita berdepan dengan masalah peniaga kononnya menggaji pekerja asing sedangkan kita mendapat laporan penyewa menyewakan premis perniagaan mereka kepada warga asing.

“Bagaimanapun tindakan tidak dapat diambil kerana kita tidak mempunyai bukti kukuh,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Hamzah, semalam.

Yasid berkata cadangan itu dibawa ke mesyuarat bulanan untuk diputuskan.

“Jika ia dilaksanakan, tindakan tegas diambil termasuk menarik semula lesen peniaga,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 69 warga asing diperiksa dalam operasi membabitkan peniaga asing di Pasar Besar Meru, pagi semalam.

Yasid berkata daripada jumlah itu seramai 19 ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Operasi dijalankan jam 4 pagi dan berakhir jam 8 pagi. MPK bersama Jabatan Imigresen membuat serbuan itu,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.