Categories
SELANGOR

Amirul ungguli cabaran Cub Prix kategori CP115

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 14 MAC: Tengku Amirul Haffiruddin mengenepikan saingan sengit pelumba lain untuk menjuarai pusingan pertama kategori CP115 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang menjuarai perlumbaan meninggalkan Md Fareez Afeez dari Felda PB Racing di tempat kedua dan pemenang ketiga, Md Harith Farhan Baharin (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing).

CP115 winner, Tengku AmirulAmirul menganggap kemenangan itu akan menguatkan tekadnya untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam pusingan seterusnya selepas ini.

“Perlumbaan hari ini agak sengit bagi saya sejak dari awal hingga akhir.

“Saya sendiri tidak menyangka boleh menaiki podium dan muncul juara kerana mendapat cabaran hebat pelumba lain,” katanya.

Amirul bermula barisan depan tetapi agak ketinggalan kemudian berjaya memintas beberapa pencabarnya dan mendahului sejak pusingan kelima hingga garisan penamat dalam perlumbaan 15 pusingan itu.

Beliau berterima kasih kepada pasukannya yang bekerja keras menyediakan jentera terbaik untuknya berjaya dalam perlumbaan itu.

Namun, katanya, pasukan lain tentunya lebih bersedia selepas ini dan berharap prestasi jenteranya lebih meningkat bagi menghadapi pusingan selanjutnya.

“Saya berusaha gigih untuk mengekalkan prestasi dan bersedia dari segi fizikal dan kercergasan diri.

“Pastinya perlumbaan selepas ini lebih mencabar kerana semua peserta berusaha memungut mata bagi mengukuhkan kedudukan,” katanya kini mendahului dengan 25 mata.

Sementara itu dalam kategori Wira, pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, Mohd Shafiq Ezzariq melintasi garisan penamat untuk muncul juara kelas berkenaan.

Beliau berjaya mengatasi pencabarnya, Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport) pada kedudukan kedua dan S Alif Nazirul S. Ismail (Persendirian) di tempat ketiga.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.