Categories
SELANGOR

Bantuan baja mikrob tingkat hasil padi

OLEH : HAFIZAN TAIB

TANJONG KARANG, 22 MAC: Kalangan petani di sini berharap bantuan baja mikrob diterima dapat membantu meningkatkan hasil penanaman padi diusahakan mereka.

Dengan peningkatan itu memberikan lebihan hasil pendapatan diraih mereka selama ini.

Petani muda, Mohd Nor Hafiz Mohd Sani, 29, dari Blok E2, Sawah Sempadan, berkata usaha Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan itu adalah langkah wajar membantu kalangan petani di situ.

“Bantuan baja mikrob ini diharap boleh meningkatkan hasil padi dan akan datang mungkin akan ada lagi bantuan lain.

“Memang dari segi pendapatan ada bertambah tetapi tidak banyak antara satu ke dua tan metrik iaitu anggaran lebih kurang RM1,000,” katanya kepada SelangorKini.

PADIHafiz adalah antara 800 petani yang mendapat bantuan baja mikrob disampaikan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dalam majlis Program Peningkatan Hasil Padi dan Penyerahan Bantuan Baja Mikrob di sini, pada 20 Mac lalu.

Beliau yang mengusahakan kerja itu daripada bapanya tahun lalu menjelaskan antara masalah dihadapi dalam mengusahakan penanaman padi ialah masalah kekurangan air, serangan siput kundang dan padi angin.

Petani veteran, Juri Tumijan, 74, dari Blok Q2, Sawah Sempadan menyifatkan bantuan itu sebagai usaha membantu mereka meningkatkan hasil penanaman padi dengan mendapatkan pendapatan lebih baik.

Katanya, ini disebabkan kebanyakan petani menghadapi masalah dari segi penyakit seperti reput tangkai, busuk akar dan sebagainya.

“Kebiasaan saya mendapat hasil antara enam hingga tujuh tan metrik semusim tetapi bila ada masalah ia turun mendadak dan banyak, yang mana faktor ini akan menjejaskan pendapatan,” katanya yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam pertanian.

Begitu juga Ibrahim Dahalan, 56, dari Sungai Besar, menjelaskan padi angin antara faktor yang boleh menjejaskan hasil pendapatan petani.

“Padi angin boleh dikatakan sering berlaku dan ia akan mengurangkan hasil petani.

“Bantuan baja mikrob dengan teknologi dimiliki mungkin dapat membantu dalam mengatasi masalah dihadapi petani,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.