Categories
SELANGOR

Cub Prix: Kumpulan Semesta taja RM30,000 bantu pelumba Orang Asal

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MAC: Anak syarikat Kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) hari ini menghulurkan sumbangan penajaan sebanyak RM30,000 bagi membantu pelumba OA Racing, Azrul Affendi Hadi mengharungi perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016.

Ketua Pegawai Kewangan KSSB, Fariz Ghazali, berkata, sumbangan itu dihulurkan bagi membolehkan Azrul meningkatkan prestasinya sekaligus membawa nama Selangor ke peringkat lebih tinggi lagi.

KSSB TAJA OA RACING“Kita bersetuju beri sumbangan secara penajaan sebanyak RM30,000 untuk pembelian alat ganti, pakaian untuk Azrul. Kita harap dengan penajaan ini akan meningkatkan prestasi sekaligus memenangi seberapa banyak perlumbaan.

“Harap Azrul dapat semangat baru. Kita memang nak tengok golongan Orang Asal maju dalam pelbagai lapangan termasuk sukan pemotoran dan menaikkan nama negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Tajaan Kepada Azrul yang diadakan di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.

Jelas Faris, KSSB mengetahui masalah penajaan yang dihadapi Azrul selepas ditemui pengurus pasukan OA Racing, Hadi Anak Jembik yang juga bapa kepada Azrul.

Sementara itu, Hadi dalam majlis sama pula berkata, sumbangan yang dihulurkan KSSB itu mampu meringankan bebanan kewangan yang ditanggungnya dalam usaha membawa Azrul ke peringkat lebih tinggi lagi.

“Saya terharu dengan bantuan KSSB ini, hanya tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik.

“Kini saya menunggu penajaan dari pihak Exco Generasi Muda, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor dan saya difahamkan masih dalam proses. bagi membolehkan Azrul menyertai kategori 250cc, barangnya pun dah sampai termasuk jenteranya tetapi saya belum dapat jelaskan bayaran,” katanya.

Jelasnya, beliau terpaksa menyediakan kewangan sebanyak RM100,000 bagi bagi menampung perbelanjaan untuk menyertai kesemua pusingan cub prix dan kira-kira RM350,000 bagi Asia Road Racng Championship.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.