Categories
NASIONAL

Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia tolak kepimpinan Najib

Oleh : NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 4 MAC : Deklarasi Rakyat ‘ Selamatkan Malaysia’ menyaksikan seteru politik duduk semeja membulatkan tekad menolak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata deklarasi terbabit dizahirkan setelah melihat ada keperluan mendesak untuk membuat reformasi terhadap sistem negara.

“Dianjurkan semua pihak ketepikan ideologi politik, fahaman, agama, budaya dan meletakkan kepentingan selamatkan negara dan memulihkan ekonomi.

“Kalau dia (Najib) ada maruah, dia kena letak jawatan,” katanya.

Menandatangani deklarasi bersama Tun Mahathir MB Muhyiddin Mukhriz (ASRI) (9)Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, perjuangan mereka demi kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

“Setiap orang tidak lupa sejarah tetapi kita harus belajar daripada sejarah seperti apa berlaku hari ini.

“Kita saksikan apabila setiap rakyat berpengaruh masyarakat sama ada dalam parti politik dan NGO bersetuju menurunkan tandatangan Deklarasi Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Deklarasi Rakyat ‘Selamatkan Malaysia’ di Rumah Alumni Universiti Malaya, di sini.

Sementara Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, berkata beliau hadir sebagai rakyat prihatin dan mahu terlibat sama mengubah nasib negara.

“Kita tidak mahu bercakap dalam masa 10 tahun lagi tentang rasuah, undang-undang menindas. Kami berada di sini untuk masa depan lebih baik,” katanya.

Bagitu juga dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan kehadirannya demi rakyat dan masa depan negara.

“Tidak ada kena-mengena dengan Umno mahupun parti-parti lain. Ini adalah mengenai rakyat dan masa depan negara.

“Mungkin ada yang di dalam kepalanya masih terikat dan tidak jelas. Ini gerakan rakyat dan bukannya gerakan parti politik” katanya.

Sementara, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang pernah menjadi seteru ketat Dr Mahathir juga mengetepikan kisah lampaunya untuk bersama-sama mengubah nasib negara dan rakyat.

“Semua rakyat sedia ketepikan perbezaan mereka dan bangkit bersama meletakkan negara mengatasi segala-galanya.

“Kita gesa 30 juta rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun perbezaan politik tampil selamatkan Malaysia daripada menjadi negara gagal,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.