Categories
SELANGOR

Dua angkat sumpah lengkapkan kouta Ahli Majlis MBPJ

OLEH : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 MAC: 24 kerusi Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini lengkap apabila Sugumaran Annamalai dan Lee Soong Yee mengisi baki dua kekosongan kerusi terbabit bagi penggal 2016/2017.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata Sugumaran dan Soong Yee masing-masing dilantik menerusi kouta diperuntukkan bagi KEADILAN dan DAP.

“Bagi kouta Ahli Majlis MBPJ, 10 untuk KEADILAN, 10 DAP dan empat PAS dan kini semua kouta dah lengkap. Sekarang adalah masa untuk mereka bekerja memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

MBPJ“Semoga mereka dapat menjalankan kerja sebaik mungkin untuk menjadi penghubung masyarakat dengan MBPJ. Mereka juga dimasukkan dalam jawatankuasa induk dan mesyuarat penuh MBPJ bagi menyuarakan pandangan masyarakat di kawasan diwakili,” kata Mohd Azizi pada Majlis Mengangkat Sumpah dan Lafaz Ikrar Ahli Majlis.

Sugumaran dan Soong Yee masing-masing mengangkat sumpah dan lafaz ikrar di Pejabat Datuk Bandar MBPJ di hadapan Mohd Azizi sendiri semalam.

Sementara itu, Sugumaran yang mewakili Seksyen 14, Zon 51 dan 51A apabila ditanya tentang sasarannya berkata beliau menumpukan soal kebersihan di kawasan diwakilinya.

“Ketika ini isu denggi menjadi isu nombor satu di Selangor. Sasaran saya mempergiatkan kerja menyembur racun nyamuk, mencantas pokok, longkang dan juga sampah.

“Selain itu saya juga akan menumpukan isu lain seperti kerja membabitkan jalan raya dan lain-lain. Isu saya sebutkan tadi merupakan masalah yang sering dihadapi rakyat,” kata Sugumaran.

Manakala itu Soong Yee yang diberi tanggungjawab ke atas zon Petaling Jaya Utara pula memberitahu beliau menumpukan usaha menghijaukan kawasan seliaan beliau.

“Saya gembira kerana hari ini diberi kepercayaan untuk mengangkat sumpah Ahli Majlis MBPJ. Saya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh memberi perkhidmatan kepada penduduk di Petaling Jaya.

“Antara fokus saya nanti, keperluan menanam lebih banyak pokok di Petaling Jaya bagi menjadikan Petaling Jaya sebagai zon hijau,” kata Soong Yee.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.