Categories
SELANGOR

Kerjasama ikhlas faktor kejayaan Taman Universiti Utama

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 MAC: Kerjasama kukuh tanpa mengharapkan upah antara faktor kemenangan penduduk Taman Universiti Utama, Seksyen 30 Shah Alam menggondol lima kategori dalam Anugerah Hijau Zon Bersih Mini MBSA 2015 (Mini ZEEBEE) kali ini.

Ahli Majlis Zon 11, Norhalim Sirome, berkata kerjasama erat itu membolehkan kawasan yang mengalami longkang tersumbat berjaya diubah landskapnya menjadi menarik selain tempat menternak ikan.

markshort“Alhamdullilah atas kejayaan diraih hasil sokongan dan kerjasama kukuh antara penduduk yang rajin bekerja dan bergotong royong tanpa mengharapkan upah.

“Saya sudah masuk pertandingan ini dua kali, tetapi saya tidak melihat kerjasama seperti ditunjukkan penduduk Taman Universiti Utama, inilah keistimewaan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Anugerah Hijau Zon Bersih Mini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Tahun 2015 di Hotel Concorde di sini, malam tadi.

Katanya, hadiah kemenangan itu akan dimanfaatkan untuk membiayai aktiviti kemasyarakat penduduk taman terbabit.

Taman Universiti Utama diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Utama Kategori Taman Perumahan, kategori Pengerusi (Majlis Perwakilan Penduduk) MPP Mini ZEEBEE terbaik, pembentangan konvensyen terbaik, kitar semula terbaik dan amalan terbaik.

Turut diumumkan sebagai pemenang dalam kategori utama lain malam tadi, Persatuan Penduduk 13/14 dan 17/18 Melati Seksyen U16 bagi kategori perumahan bertingkat dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Budiman bagi kategori kampung tradisional.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.