Categories
SELANGOR

MB: Kekalkan integriti ke arah negeri bebas rasuah

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 MAC : Penjawat awam perlu berpegang teguh pada prinsip memerangi amalan rasuah bagi mengekalkan integriti ke arah pentadbiran negeri bebas rasuah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata lafaz ikrar perkhidmatan awam perlu diterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan.

Perhimpunan bulanan SUK Selangor anjuran PKPS - MB AZMIN (ASRI) (1)“Apa maknanya kalau kita membaca ikrar perkhidmatan awam setiap bulan yang mana antara kandungannya membenteras rasuah, tetapi ada kementerian lesap RM100 juta ringgit?

”Pembayaran dibuat, programnya tiada yang ada cuma beg tangan mewah dan sudah tentulah perkara ini tidak boleh berterusan.

“Sebab itu saya ingatkan bahawa ikrar kita baca itu perlu difahamkan dan mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya.

Beliau berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohammad Amin Mohd Yahya, Pengerusi Besar PKPS Tamby Omar Mohammed, Pegawai Undang-Undang Negeri Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Nordin Sulaiman.

IkrarSebelum itu, Mohamed Azmin bersama kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membaca ikrar penjawat awam sebagai rutin perhimpunan bulan itu.

Semalam, pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa menggelapkan kira-kira RM100 juta dana kementerian sejak enam tahun lalu.

SPRM menyita beberapa barangan milik tertuduh berjumlah RM20 juta termasuk 12 kenderaan mewah antaranya Audi, Mercedes Benz, Nissan GTR dan Toyota Vellfire.

Antara barangan berjenama lain yang turut dirampas 40 beg tangan berjenama termasuk jenama Hermes (RM400,000) dan set cadar mewah (RM300,000).

Malah, beberapa barang kemas termasuk cincin mutiara Cartier bernilai RM600,000 turut dirampas serta 69 akaun bank tertuduh berjumlah RM8.33 juta dibekukan.

Tidak mahu kejadian sama berlaku di negeri ini, Mohamed Azmin berkata penjawat awam perlu memanfaatkan hasil kekayaan Selangor dengan bijak tanpa didorong melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Allah sedang menguji kita khususnya kepimpinan di semua peringkat untuk menguruskan hasil mahsul kekayaan Selangor dengan amanah dan bertanggungjawab.

“Saya percaya anggota perkhidmatan awam terus mempertahankan ikrar yang dilafazkan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.