Categories
SELANGOR

Perkaya bank tanah, elak terlepas kepada swasta

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri digesa terus berusaha memperkaya bank tanahnya dengan memastikan tiada lagi tanah bernilai tinggi terlepas ke tangan swasta.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata  pemilikan tanah bernilai tinggi itu akan terus meningkat dan ia boleh dimanfaatkan kemudian hari untuk pembangunan rakyat.

Memberi contoh cadangan pembelian tanah di Daerah Kuala Selangor oleh Eco World Development Group Bhd, Weng San, berkata urus niaga tanah membabitkan 26 bidang tanah berkeluasan 2,200 ekar itu boleh mencecah RM1.18 bilion sementara Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM15 bilion untuk tempoh 15 tahun akan datang.

lau weng san pc 05 jul 01“Sudah pasti Eco World sebagai sebuah syarikat hartanah berprofil tinggi membuat kerja rumah mencukupi sebelum membentangkan cadangan ini kepada pemegang saham mereka.

“Saya mohon Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada perkara ini dan memastikan bahawa Selangor tidak lagi kehilangan tanah kepada pihak swasta akibat legasi masa silam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Weng San berkata, kejayaan memperkayakan bank tanah membolehkan Kerajaan Negeri menggunakan sebahagian tanah itu untuk membangunkan rumah mampu milik kepada rakyat.

“Baru-baru ini, syarikat British America Tobacco ingin menjual tanah seluas 500,000 kaki persegi di Seksyen 19, Petaling Jaya.

“Saya bercadang agar kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) agar tidak ketinggalan memastikan tanah ini kembali ke pangkuan Selangor.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan sebahagian daripada tanah itu untuk membangunkan rumah mampu milik,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.