Categories
SELANGOR

Rizab air positif, Selangor yakin tiada catuan – Zaidy

OLEH : NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 23 MAC: Kerajaan Negeri yakin tiada catuan bekalan air sehingga hujung tahun ini berikutan rizab air positif dan beberapa langkah mitigasi awal yang diambil.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata sehingga hari ini bekalan air di empangan khususnya empangan Sungai Selangor berada ditahap memuaskan.

ZAIDY ARGO“Sehingga hari ini, empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus sumber air kepada penduduk Lembah Klang masih berada di 83.10 peratus.

“Begitu juga dengan beberapa empangan lain. Berbanding negeri lain, Selangor berada di keadaan selesa. Kita yakin dapat mengharungi kemungkinan musim panas sehingga hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Pasar Agro Smart Selangor, di Gombak Setia, di sini.

Zaidy turut menasihatkan penternak dan petani terkesan akibat fenomena panas luar biasa ketika ini supaya sentiasa positif.

“Dengan keadaan cuaca mencecah 40 darjah celcius ini sudah pasti hasil ternakan mahupun pertanian akan terjejas. Namun, Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan langkah terbaik untuk atasi musim panas ini.

“Sehingga kini, setiap hari kita masih melakukan proses pembenihan awan bermula awal tahun lalu dalam mengatasi fenomena luar biasa ini,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran fenomena El-Nino melanda negara bermula Januari lalu.

Kehadirannya dijangka menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 hingga 60 peratus dan kenaikan suhu 0.5 hingga 0.2 peratus berbanding biasa.

Orang ramai dinasihatkan supaya berjimat cermat dalam penggunaan air dan mengurangkan aktiviti luar sepanjang fenomena ini.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.