Categories
SELANGOR

Rizab Selangor meningkat kepada RM3.39 bilion

OLEH : NAZLI IBRAHIM

KLANG, 26 MAC: Walaupun keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan tidak menentu, kedudukan kewangan Kerajaan Selangor terus mengukuh apabila setakat Februari lalu berjaya mencatatkan pertambahan kepada RM3.39 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pertambahan rizab itu diperolehi dengan usaha gigih kakitangan awam dan seiring pertumbuhan ekonomi dirangsang pelbagai pembangunan dijalankan Kerajaan Negeri.

Selangor maju“Kita bersyukur dalam keadaan ekonomi Malaysia gawat, Selangor mencatatkan pertumbuhan baik, pembangunan mampan dan atas kesedaran serta keinsafan barisan kepimpinan yang ada sekarang, menjamin pentadbiran telus, bertanggungjawab, tidak rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita mencatatkan lebihan pendapatan pada 2015 sebanyak RM577 juta yang tidak pernah direkodkan sebelum ini dan sehingga Februari tahun ini, rizab Kerajaan Negeri mencatatkan RM3.39 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras (PKRP) N46 DUN Pelabuhan Klang di Taman Pendamaran Permai, di sini, hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu perlu bukan sekadar di atas kertas atau bermegah-megah tetapi kekayaan Selangor mesti dipulangkan kembali kepada rakyat untuk pembangunan.

“Kita juga tidak ada sumbangan derma daripada orang Arab seperti sebuah kerajaan lain. Pendapatan kita, rizab kita kerana pegawai kita berkerja kuat mengutip hasil,” katanya.

Katanya, selain meningkatkan rizab negeri, Kerajaan Negeri pada Belanjawan 2016 lalu menjadi satu-satunya Kerajaan Negeri yang berjaya mengurangkan perbelanjaan mengurus kepada 50 peratus dan menambah perbelanjaan pembangunan kepada 50 peratus.

“Bagaimana kita boleh pulihkan ekonomi negara, bagaimana kita boleh menjana aktiviti ekonomi kalau belanja pembangunan hanya 18 peratus dan mengurus pembaziran, ketirisan, rasuah berleluasa sebanyak 82 peratus,” kata Mohamed Azmin merujuk kepada Kerajaan Persekutuan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.