Categories
SELANGOR

Selangor alu-alukan Cub Prix cungkil bakat baru

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan Selangor mengalu-alukan penganjuran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia dalam usaha mencungkil bakat baru serta mempopularkan sukan permotoran di negara ini.

Siri perlumbaan 10 pusingan bermula di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor pada 12 dan 13 Mac ini mendapat kerjasama Kerajaan Selangor serta Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor seperti mana musim sebelum ini.

Penganjuran acara itu diyakini memberi impak positif kepada pembangunan negeri dengan mengambil peduli generasi muda yang bergiat aktif dan meminati bidang permotoran di Selangor dan Malaysia.

Cub Prix get back in action on March 12 at Maeps SelangorSelain melahirkan jaguh negara pada masa hadapan, siri perlumbaan itu juga berupaya memajukan sektor pelancongan tempatan melalui ‘sport tourism’ khususnya pelancongan dalam negeri.

Kejuaraan Cub Prix itu juga menjadi pentas riadah dan aktiviti sihat dalam kalangan peminat dan keluarga selain memberi peluang pekerjaan secara profesional kepada golongan yang menceburi profesion berkenaan.

Kerajaan Selangor melalui Bahagian Pembangunan Belia MSN Selangor membantu mengkoordinasi keperluan penganjur dengan pihak berkaitan seperti Tourism Selangor, Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlius Perbandaran Kajang (MPKj).

Turut diadakan pameran booth agensi Kerajaan Selangor terdiri daripada Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan sebagainya.

Majlis Pelancaran Kejuaraan Cub Prix juga akan diadakan di Metropoint Kajang pada 4 Mac jam 3 petang di mana akan diadakan acara memperkenalkan barisan pelumba dari Selangor selain beberapa pengiktirafan kepada pihak terpilih.

Kejuaraan Malaysia Cub Prix dianjurkan Safe Aim Mutual Sdn Bhd selain Kelab Sukan Motor Pulau Pinang sebagai pengelola kejuaraan dengan kerjasama Persatuan Automobile Malaysia (AAM) selaku badan induk sukan permotoran tanah air.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.