Categories
SELANGOR

Ubah persepsi wanita ‘lemah’, pulih institusi kekeluargaan

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 MAC : Ketidaksamaan kuasa perhubungan antara lelaki dan wanita menyebabkan kaum Hawa sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Timbalan Dekan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat, berkata wanita dianggap sebagai individu lemah dan ‘aset’ kepada kaum lelaki.

Katanya, tanggapan itu perlu diubah bagi memastikan institusi kekeluargaan dapat dipulihkan sekali gus menjadikan pembinaan keluarga positif disemai dalam kehidupan seharian.

ustaz“Masyarakat membuat tanggapan bahawa wanita dan kanak-kanak sebagai kaum lemah, emosional, tidak rasional dan harta kepada kaum lelaki.

“Inilah tradisi dipegang kaum lelaki yang meletakkan mereka sebagai ketua dan mempunyai kuasa ekonomi serta sosial besar,” katanya pada Seminar Pemahaman Isu Keganasan Rumah Tangga peringkat Selangor di Dewan Perdana, Hotel Bluewave, di sini, hari ini.

Sebanyak 6,463 kes penderaan dan keganasan rumah tangga dilaporkan pada 2014, manakala 6,170 kes pada 2015 di Selangor.

Manakala, sehingga Februari 2016 sebanyak 953 didaftarkan yang mana daripada jumlah itu sebanyak 102 kes atau 10.7 peratus berkenaan kes penderaan.

Pada masa sama, Dr Mohd Nor menyarankan setiap individu menggunakan pendekatan psikologi dengan menerapkan nilai kelembutan dan kasih sayang untuk menyelesaikan konflik kekeluargaan.

“Institusi kekeluargaan yang positif boleh dibentuk jika kita bermuhasabah. Bila muhasabah, kita lakukan perubahan dan selepas perubahan itu, kita dan pasangan terus beristiqamah.

“Inilah cara kita untuk ubah diri kita, pasangan kita, anak-anak kita dan keluarga kita,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.