Categories
SELANGOR

57 bekas pekerja ladang buat laporan polis

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 1 APRIL: 57 bekas pekerja ladang di Selangor membuat laporan polis semalam ekoran bimbang pemiliknya, Tagar Properties Sdn Bhd menggunakan kekerasan memastikan mereka keluar dari kediaman masing-masing.

Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan, berkata notis akhir pengosongan rumah diterima penduduk pada 11 Mac lalu nyata mengandungi unsur ugutan.

Katanya, ia membabitkan penduduk di Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak, Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar.

20160331_155507“Dalam notis itu dinyatakan jika mereka enggan keluar, pihak syarikat akan menggunakan polis atau dengan perkataan lain dihalau keluar begitu sahaja walaupun pemilik ladang sebelum ini, Kumpulan Berjaya berjanji akan memberikan tanah seluas 4,000 kaki persegi kepada penduduk yang berkhidmat lebih 10 tahun.

“Selain menggunakan polis, penduduk juga bimbang pihak syarikat menggunakan pihak luar untuk menjalankan kerja mengusir secara paksa dan helah kotor lain seperti memotong bekalan elektrik serta air.

“Pemilik ladang sepatutnya menggunakan saluran perudangan di mahkamah dan bukannya cara paksaan seperti ini,” katanya kepada SelangorKini di hadapan Balai Polis Daerah Kuala Selangor di sini.

Arutchelvan berkata, selain tanah, Kumpulan Berjaya turut menjanjikan pembinaan rumah kos rendah dengan memberi keutamaan kepada pekerja ladang, namun tidak dilaksanakan.

Katanya, rata-rata penduduk sudah mendiami kawasan itu berpuluh tahun dengan mewarisinya daripada bapa mereka.

“Berjaya berjanji dengan Kerajaan Negeri pada 1998 dan pada 2008 genap 10 tahun, bermakna mereka yang terbabit berhak menuntut.

“Sebaliknya apa yang berlaku Berjaya menjual ladang ini kepada Tagar Properties Sdn Bhd dan syarikat itu tidak mempedulikan janji yang dibuat,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.