Categories
SELANGOR

ADN Seri Andalas buat laporan polis, nafi seleweng dana banjir

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 APR : Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan penyelewengan dana banjir yang dilemparkan pihak tidak bertangunggjawab terhadapnya.

Ia susulan dua laporan polis dibuat ke atas Xavier sebelum ini yang mendakwa beliau melakukan kegiatan pecah amanah terhadap dana bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada mangsa banjir.

1“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan penyelewengan dana banjir yang didakwa oleh pengadu dan tuduhan itu adalah palsu.

“Dengan tuduhan palsu itu pengadu sebenarnya tidak berminat untuk mencari kebenaran.

“Sebaliknya hanya untuk menyebarkan fitnah dan tuduhan palsu terhadap saya dengan mengadakan sidang akhbar, sebaran di media elektronik dan media sosial,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini dua laporan polis dibuat di Balai Polis Klang dan Balai Polis Taman Sentosa ke atas Xavier yang mana salah satunya berkait dakwaan kononnya beliau terlibat dalam satu kes kebakaran kereta milik pengadu.

Bagaimanapun kata Xavier, tuduhan tersebut jelas berniat jahat bagi tujuan memburuk-burukan imej beliau sebagai wakil rakyat Seri Andalas.

“Saya dan keluarga sekarang berada dalam keadaan tertekan dan bimbang dengan keselamatan kami.

“Justeru, polis perlu menyiasat kedua-dua laporan polis yang mengandungi fitnah dan tuduhan palsu ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.