Categories
SELANGOR

Bebaskan suspek rogol budak 4 tahun, dua anggota polis digantung tugas

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APR: Polis Selangor memandang serius kesalahan dua anggotanya melepaskan seorang suspek dipercayai warga asing dalam satu kes rogol melibatkan seorang mangsa kanak-kanak berumur empat tahun di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Negeri Selangor, Komissioner Polis (CP) Datuk Abdul Samah Mat, berkata ekoran tindakan dua anggota kereta peronda terbabit digantung kerja sementara menunggu siasatan kejadian melepaskan orang tahanan di bawah seksyen 223 Kanun Keseksaan selesai dijalankan.

“Saya memandang serius perbuatan salah dua anggota polis tersebut dan tidak sama sekali berkompromi terhadap perbuatan sebegini yang mencalar kredibiliti, imej dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.

Polis“Siasatan terhadap dua anggota polis tersebut atas kesalahan melepaskan orang tahanan di bawah seksyen 223 Kanun Keseksaan sedang dijalankan dan sementara siasatan selesai, mereka telah ditahan kerja serta merta.

“Justeru, orang ramai diminta supaya menghentikan spekulasi mengenai kes ini. Saya memberi jaminan siasatan berhubung perkara ini telah dan sedang dijalankan secara telus dan teliti. Tiada mana-mana individu yang terlibat dalam kes ini termasuk dua anggota polis tersebut akan dilindungi,” kata Abdul Samah dalam satu kenyataan medianya malam tadi.

Mengulas kejadian rogol itu, Abdul Samah memberitahu, Pusat Kawalan Polis Daerah Sungai Buloh menerima satu panggilan memaklumkan orang awam berjaya menangkap suspek disyaki merogol kanak-kanak perempuan sebelum dua anggota kereta peronda terbabit membawa suspek, mangsa dan ibu mangsa ke Balai Polis Sungai Pelong.

Katanya, setiba di Balai Polis Sungai Pelong, ibu mangsa enggan membuat laporan polis kejadian anaknya dirogol disebabkan kebimbangan beliau dan anaknya (mangsa) itu ditahan polis ekoran status mereka sebagai warganegara asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Atas alasan tersebut, kedua-dua anggota kereta peronda polis tersebut membuat keputusan sendiri dan membebaskan suspek dan pada tengah hari sama, mangsa yang mengalami kesakitan pada kemaluannya dibawa ibunya ke sebuah hospital kerajaan untuk rawatan.

“Seorang doktor di hospital tersebut yang memeriksa mangsa mendapati ada kesan mangsa telah dirogol lalu beliau membuat laporan polis,” katanya lagi.

Ekoran laporan dibuat doktor tersebut, polis memulakan siasatan dibawah seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan gerakan untuk mengesan dan menangkap semula suspek dilepaskan dua anggota polis tersebut sedang giat dijalankan.

Tambah Abdul Samah, suspek juga dipercayai seorang warga asing tanpa sebarang dokumen sah dan meminta orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat tentang suspek tampil membantu polis bagi mengesan dan memberkas suspek.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.