Categories
NASIONAL

Fenomena Superkip tarik minat pelumba muda

SHAH ALAM 30 APR: Kejayaan Khairul Idham Pawi menyaksikan pasukan profesional menerima permohonan daripada ibu bapa untuk meletakkan anak mereka beraksi dalam kelas Wira di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 yang memasuki pusingan ketiga di Kangar, Perlis, minggu ini.

Berbeza dengan kelas CP130, kategori Wira merupakan kelas apabila kebanyakan pasukan dan pelumba memulakan penglibatan mereka dalam siri kejuaraan kebangsaan ini manakala pasukan ternama dalam kelas CP130 pula tidak dibenarkan menyertai kelas ini bagi membuka lebih banyak peluang kepada pasukan dan pelumba untuk bersaing di litar.

MHF_1249Bagi pasukan Hyperlube PJM Racing Team, perlumbaan minggu ini menyaksikan mereka turut menyenaraikan pelumba muda berusia 14 tahun, Muhammad Izam Ikmal Izamli sebagai pelumba baharu pasukan.

Pemiliknya, Mohd Salleh Md Isa melihat Izam Ikmal yang menandatangani kontrak pelumba Asia Talent Cup sebagai seorang pelumba berbakat dan jika mendapat bimbingan yang betul, tidak mustahil mampu pergi lebih jauh.

“Kami nampak Izam sebagai pelumba muda yang bagus dan berbakat namun masih kurang pengalaman dan latihan. Ini merupakan perlumbaan pertamanya menggunakan jentera underbone di kejuaraan ini berbanding jentera ‘full frame’ yang digunakan dalam perlumbaan lain.

Kami di Hyperlube PJM Racing akan cuba untuk mengasah bakat dan melatih Izam,” jelasnya.

Beliau berkata untuk pergi lebih jauh, dia perlu dibimbing oleh individu yang betul dan berpengalaman kerana sukan permotoran bukan seperti sukan bola sepak, golf, badminton ataupun renang.

Katanya, semua ibu bapa mahukan kejayaan terhadap anak mereka – namun mungkin dalam sukan permotoran, ada beberapa perkara seperti isu teknik berada di luar kemahiran ibu bapa.

“Ada diantara perlumbaan di peringkat pembangunan, pihak pengurusan melarang ibu bapa dari berada di padok kerana mereka mahu memberikan yang terbaik kepada pelumba. Kami sangat berminat dengan bakat dan kemampuan Izam Ikmal.

“Kami berharap keluarganya sedia memberi sepenuh kepercayaan untuk kami melatih, memberi tunjuk ajar dan pendedahan untuk memantapkan lagi kemahiran Izam Ikmal,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.