Categories
SELANGOR

Jadikan Petaling Jaya bandar selamat

OLEH : HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 12 APR: Perkongsian idea dan pandangan pelbagai pihak berkaitan diharap mampu merealisasikan usaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mewujudkan bandar selamat di kawasan seliaannya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata pembangunan dirancang itu bagi mewujudkan kawasan persekitaran selesa bagi komuniti di situ dan menepati konsep dan visi MBPJ ke arah ‘PJ Sustainable 2030’.

cctv mbpj“Menerusi bengkel ini kita harap mendapat maklumbalas terperinci lengkap bagi reka bentuk dan pembangunan Petaling Jaya dengan imej bandar selamat.

“Jika bandar selamat maka kehidupan menjadi lebih baik dan pembabitan pihak berkuasa keselamatan juga akan berkurangan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika dalam Bengkel Kajian Garis Panduan Rekabentuk Bandar Selamat Seksyen 13 Petaling Jaya.

Bengkel keempat anjuran Jabatan Perancang Bandar MBPJ itu disertai pelbagai pihak seperti jurutera, arkitek dan golongan profesional lain termasuk persatuan penduduk.

Mohd Azizi berkata, kawasan Seksyen 13 Petaling Jaya dipilih sebagai projek perintis bagi pembangunan itu di mana MBPJ menjalin kerjasama dengan IZM Consult selaku perunding untuk tujuan berkenaan.

“Pembangunan itu merangkumi aspek landskap, lalu lintas, pengangkutan, pemasangan lampu dan pelbagai aspek lain.

“Jika ia memerlukan pengambilan tanah milik penduduk, syarikat atau pihak tertentu maka kerjasama mereka diperlukan supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Katanya, pelaksanaannya diyakini mampu direalisasikan dalam masa ditetapkan dan Petaling Jaya juga hanya mempunyai kawasan perindustrian kecil sekitar lebih kurang 20 peratus.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.