Categories
NASIONAL

Kesihatan MB Kelantan bertambah baik

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 APR: Keadaan kesihatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bertambah baik walaupun masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas menjalani pembedahan kecil akibat pendarahan di bahagian kiri kepala, pada 14 April lalu.

Ahmad dalam satu kenyatan merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada doktor dan kakitangan perubatan HUSM yang bertugas sepanjang beliau menerima rawatan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesejahteraannya selama ini.

12998292_487469094776546_4794611462078879130_o“Perkukuhkanlah amalan taawun ala al-bir dan al-taqwa (tolong menolong atas perkara kebaikan dan takwa) serta perluaskan dalam masyarakat khasnya kepada yang kurang bernasib baik.

“Dengan amalan ini, sudah pastinya Allah akan melapangkan kehidupan kita.

“Hindarilah taawun ala al-ithmi wa al-udwan (jangan tolong menolong atas urusan yang membawa kepada dosa dan permusuhan) yang sudah tentu hanya akan mengundang kemurkaan Allah dan mendapat kesempitan hidup,” katanya menerusi laman Facebook.

Ahmad dimasukkan ke HUSM sejak 13 April lalu selepas rasa sakit di bahagian kepala dan dimaklumkan berkenaan darah beku oleh pihak hospital sebelum menjalani pembedahan kecil keesokkan harinya.

Timbalan Mursyidul Am PAS itu turut berdoa supaya Kelantan dicucuri rahmat daripada Allah sepanjang masa dan meminta rakyat sentiasa bersabar ketika diuji dengan musibah serta kesusahan.

Beliau juga menasihatkan seluruh rakyat membangunkan sifat taqwa setiap detik dan ketika demi untuk meraih keredaan Allah.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.