Oleh: LIZAWATI MADFA
Sentiasa mencuri tumpuan dengan penghasilan filem pendek yang membuat ramai ‘tertampar’, Jason Lim hadir dengan buah tangan terbarunya, ‘Greed’ (Tamak) awal Mac lalu.
Pengarah dan penerbit filem berusia 30 tahun itu sekali lagi berjaya menonjolkan mesej kejujuran dan ketamakan dalam kalangan masyarakat negara ini, yang diuji dengan wang yang sengaja dicicirkan.
Berdurasi lebih empat minit, filem itu kini mencecah jutaan capaian dan lebih 60,000 perkongsian di laman sosial selepas sebulan disiarkan.
“Jika kamu ternampak seseorang tercicir wang di atas jalan, adakah kamu akan mengambil wang itu atau kamu akan melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan.
“Kami mengambil keputusan mencari kebenaran,” katanya menerusi kapsyen awal filem itu.
Bahagian pertama menunjukkan ramai mengutip wang berkenaan dan buat-buat tidak tahu, malah ada yang terus berjalan laju melarikan diri selepas mengutip wang yang dijatuhkan seorang pemuda.
Bahagian kedua pula memaparkan masih ada yang mengutip dan memulangkan kembali wang berkenaan.
Mula menyentuh hati, apabila rakaman menunjukkan seorang wanita dipercayai kurang upaya (pekak dan bisu) turut mengutip dan berlari untuk memulangkannya.
Kemuncaknya paling emosi apabila seorang pengemis bangun mengejar pemuda yang tercicir wangnya di hadapan tempat beliau duduk di kaki lima meminta sedekah.
Siapa yang tidak terkesan di hati? Maka, ramai memuji usaha terbaru Jason ini selepas penghasilan filem ‘pedas’ lain termasuk Lahir Sebagai Rasis (Born A Racist), Aku Bukan Bodoh (I’m Not Stupid) dan Rakyat Malaysia Yang Tidak Mempunyai Perasaan (Heartless Malaysians?).
“Mesejnya jelas, bahawa ketamakan dan ketidakjujuran merupakan satu sikap universal tanpa mengira warna kulit, bangsa mahupun agama.
“Setiap orang berpeluang memilih untuk bersikap jujur atau sebaliknya,” kata anak muda kelahiran Selangor ini.
Di sebalik rimbunan pujian netizen, Jason bagaimanapun sedikit kesal apabila masih terdapat pihak yang gagal memahami maksud sebenar ‘Greed’.
Keluhnya, ramai yang keliru dengan kapsyen yang digunakan, bangsa mana yang paling tamak antara semuanya (Which race is the most greedy of all?).
“Apa yang mereka fikirkan? Semestinya jawapan kepada soalan itu adalah manusia (human race).
“Hanya orang yang rasis sahaja akan cenderung untuk mengatakan bahawa ‘Greed’ berkisar mengenai bangsa tertentu,” tegasnya.
Jason berpendapat, rakyat Malaysia terlalu leka memperbesarkan benda remeh yang tidak penting berbanding perkara yang menuntut perhatian.
“Ada juga yang mempersoalkan mengapa saya tidak berikan wang kepada pengemis itu sedangkan itu sudah dilakukan.
“Lagipun, adakah dengan menguar-uarkan kebaikan ini akan membuat saya mulia di mata dunia. Tidak sama sekali.
“Pengemis itu bukan masalahnya. Dia hanya sebahagian daripada rakaman kami yang menunjukkan bagaimana seorang peminta sedekah pun masih kenal mana haknya dan mengembalikan hak orang…walaupun dia begitu memerlukannya,” ceritanya sedikit emosi.
Menerusi laman rasmi Facebooknya, Jason Lim Productions, beliau ada memuat naik rakaman di mana pemuda yang menjatuhkan wang itu sebenarnya kembali kepada pengemis berkenaan dan menyumbang sedikit wang.
Jason menjelaskan, dia sengaja tidak memasukkan rakaman berkenaan ke dalam ‘Greed’ untuk melihat perspektif orang ramai, yang terbukti masih sempit dan negatif.
Tidak sekadar memberikan wang ketika rakaman dibuat, baru-baru ini Jason dan pasukannya menjejak dan membuat sedikit kejutan terhadap lelaki itu.
Dia yang ditemui Jason ketika meminta sedekah dibawa untuk sesi ‘make over’ – termasuk rambutnya dicuci dan dipotong kemas, dihadiahkan sepasang kasut baru yang dipilihnya sendiri seterusnya di bawa menikmati makan malam.
Ketika ditanya Jason dalam rakaman yang boleh ditonton di Facebook – mengapa dia memulangkan wang itu, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Subramaniam secara bersahaja memberitahu itu bukan haknya.
“Itu hak orang, saya mesti pulangkan balik. Mengambil hak orang bukan sesuatu yang baik.
“Jika orang mahu beri saya wang, saya terima. Jika tidak, saya tidak boleh ambil dan mesti pulangkan balik,” jawabnya.
Berjanji untuk terus menyokong Subramaniam menjalani kehidupan lebih baik, Jason menyeru ‘keyboard warriors’ untuk keluar dan membantu golongan gelandangan.
“Jika anda terjumpa gelandangan di tepi jalan, mungkin anda juga boleh sama membantu. Kerana anda sememangnya mampu,” katanya menerusi kapsyen di hujung rakaman.
Sentiasa tersenyum, Jason menolak anggapan usaha itu dibuat ekoran desakan orang ramai, sebaliknya mempertahankan ‘make over’ itu sebagai usaha ikhlasnya membantu Subramaniam.
“Saya bukan hidup untuk memuaskan hati orang mengikut kehendak mereka. Saya hanya ghairah menghasilkan sesuatu yang dapat dikaitkan dengan orang ramai, seterusnya mendorong mereka untuk menjadi insan lebih baik.
“Itupun, hanya jika mereka mengambil filem saya secara baik,” tegasnya.
Dilihat berbakat besar dengan idea serta gaya pengarahan baik dan jarang ditemui, Jason mengakui beliau lebih selesa untuk mengembangkan kariernya di Hong Kong.
“Di sana, hak dan suara rakyat lebih dipeduli. Lagipun tidak banyak sekatan dalam berkarya menjadikan kita lebih selesa mencurah idea untuk dikembangkan,” akhirinya.