Categories
SELANGOR

KSSB azam pergiat CSR bantu rakyat memerlukan

OLEH: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 27 APR: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berazam untuk terus mempergiat program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi tahun ini.

Ketua Jabatan, Kualiti, Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran KSSB, Muhamad Fadzil Yahya, berkata kejadian bencana merupakan antara keutamaan dalam usaha membantu meringankan beban pihak memerlukan.

Katanya, tumpuan juga diberikan kepada rakyat Selangor memandangkan hasil KSSB juga berpunca daripada perut bumi negeri ini.

Muhamad Fadzil Yahya“Kami memang tidak dapat mendapatkan apa yang hilang atau mengembalikan yang sudah pergi.

“Tetapi kami berhasrat meringankan beban mangsa seterusnya membolehkan mereka mampu menjalani kehidupan dengan baik,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan cek bernilai RM30,000 kepada mangsa kebakaran rumah, Zuriyana Marjunit di Kampung Batu 4, Ijok, di sini hari ini.

Sumbangan turut disampaikan kepada 10 mangsa bencana puting beliung yang berlaku pada Februari lalu.

Mereka merupakan sebahagian daripada 30 mangsa yang menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM42,500.

Baru-baru ini, KSSB turut menyumbang RM30,000 kepada pelumba Orang Asal, Abdul Affendi Hadi yang menyertai Malaysia Cub Prix.

Selangor Kini sebelum ini melaporkan pelumba OA Racing Team itu sukar mendapat penajaan walaupun sentiasa menampilkan aksi terbaik dalam kebanyakan pusingan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.