Categories
NASIONAL

Penguatkuasaan undang-undang mesti diperketat kekang warga asing tak sah

OLEH : HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 APR: Kerajaan Persekutuan perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang kebanjiran ramai warga asing secara tidak sah di negara ini.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamruddin, berkata situasi berlaku ketika ini adalah sistem dan penguatkuasaan peraturan lemah dipraktikkan mengakibatkan kemasukan golongan itu dilihat menjadi begitu mudah.

warga asing -sosial“Ia adalah polisi Kerajaan Persekutuan yang dilihat lemah dari segi urusan membabitkan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis dan sebagainya.

“Sudah tiba masanya untuk kita uruskan warga asing ini dengan cara betul melalui penguatkuasaan undang-undang lebih ketat,” katanya

Zuraida berkata, beberapa cadangan pernah disuarakannya di Parlimen membabitkan golongan itu terutama soal sewaan rumah seperti di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka perlu mendaftar diri bagi tujuan berkenaan.

Dengan itu, katanya, jumlah golongan itu yang masuk secara sah boleh diperoleh dan pemantauan dapat dilakukan terhadap mereka.

“Bagi tidak berdaftar maka kita boleh mengandaikan mereka masuk dengan jalan tidak sah dan tindakan boleh diambil.

“Ia perlu dilakukan kerana jumlahnya semakin ramai dan membabitkan beberapa kumpulan seperti warga asing, pendatang asing, pekerja asing serta pelarian dan yang lain,” katanya.

Beliau menjelaskan, kemasukan mereka juga mendatangkan saingan kepada rakyat tempatan apabila majikan mengambil jalan mudah menggunakan perkhidmatan mereka dengan bayaran gaji rendah berikutan kurangnya komitmen dalam kehidupan.

“Kawasan Ampang tidak terkecuali dengan kehadiran warga asing dari Myanmar, India, Indonesia, Korea, Afrika dan macam-macam.

“Isu membabitkan golongan pelarian pula mengakibatkan status sosial dan ekonomi rakyat tempatan semakin menurun dan negara akan kian mundur.

“Kita tidak menghalang kemasukan mereka tetapi perlu ada mekanisme tertentu bagi menanganinya,” katanya yang menyatakan jumlahnya di Selangor kini adalah kedua tertinggi selepas Pulau Pinang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.