Categories
SELANGOR

Bekas pemimpin ajaran sesat bertaubat

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 MEI: Bekas pemimpin ajaran sesat, Abdul Kahar Ahmad akhirnya menzahirkan penyesalan dan bertaubat kerana pernah mendakwa dirinya sebagai rasul.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Bakhtiar Hussin, berkata Abdul Kahar turut memohon ampun maaf kepada Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam dan masyarakat Islam yang terguris dengan ajarannya sebelum ini.

MAIS - BangunanKatanya, Abdul Kahar juga menyeru pengikutnya segera bertaubat dan kembali kepada ajaran sebenar.

“Beliau turut memohon masyarakat dan media tidak lagi merujuk dan menggunakan istilah ‘Rasul Melayu’ terhadapnya demi menjaga kesucian Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW,” katanya dalam kenyataan.

Pada 21 Oktober 2009, Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad turut memerintahkan Abdul Kahar dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu pada enam bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara itu.

Semalam, Abdul Kahar dibebaskan dengan parol dan turut menandatangani Dokumen Pengisytiharan Taubat dengan disaksikan Bakhtiar dan Ahli MAIS, Prof Dr Mujaini Tarimin di Pusat Rawatan Islam Al-Manarah, Kuang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.