Categories
NASIONAL

Cub Prix: Kemenangan di Buriram kejayaan penting Zaqhwan

SHAH ALAM 17 MEI: Md Zaqhwan Zaidi menyifatkan kemenangan SuperSports 600cc di Thailand baharu ini merupakan antara kemenangan penting dalam karier perlumbaannya khususnya menjelang pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kelantan, minggu ini.

Penantian pelumba berusia 21 tahun sejak musim lepas akhirnya berbaloi dan pada masa sama kembali meningkatkan keyakinan pelumba itu untuk menghadapi pelbagai perlumbaan selepas ini.

Zaqhwan berjaya meraih gelaran juara pada Perlumbaan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada 8 Mei lepas.

Zaqhwan in action during Cub Prix in Kangar“Sejak saya kembali ke Cub Prix dan ARRC pada pertengahan 2015, saya menghadapi masalah untuk mendapatkan kembali rentak kemenangan.

“Selalunya bagi kebanyakan atlet, jika berada pada tahap ini ada kalanya mampu untuk merosakkan karier mereka. Saya cuba untuk kekal positif namun bukan mudah menepis perasaan sendiri yang menganggap prestasi saya tidak cukup bagus,” kata Zaqhwan.

Tambah Zaqhwan, “Kalah kepada Azlan pada pusingan terakhir sewaktu di Pasir Gudang tempoh hari juga mengganggu moral saya. Jika saya sekali lagi kalah kepada Azlan di Bururam, rasanya keyakinan saya semakin menurun.

“Kemenangan di Thailand bermakna. Ia membuktikan saya masih mempunyai sentuhan menewaskan pelumba berkelas dunia seperti Azlan, rakan sepasukan Yuki Takahashi, Tomoyoshi Koyama, Ahmad Yudhistira dan Anthony West.

“Mudah-mudahan nama Zaqhwan Zaidi yang pernah meraih gelaran berganda CP130 dan SuperSports 600cc pada 2014 akan kembali,” kata Zaqhwan.

Zaqhwan akan tampil bersama pasukannya Givi Honda Yuzy Racing dalam saingan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Mas, Kelantan, 20 dan 21 Mei ini.

Setakat tiga pusingan, Zaqhwan kini menghuni tangga ketujuh keseluruhan dengan 29 mata manakala pendahulu milik Ahmad Fazli Sham dengan 58 mata.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.