Categories
SELANGOR

Hakmilik tanah: Penantian lama penduduk Site B Sekinchan berakhir

OLEH : HAFIZAN TAIB

SEKINCHAN, 21 MEI: Pemberian hakmilik tanah kepada keluarga berkaitan di sini, semalam, mengakhiri penantian lama kebanyakan mereka yang mengharapkan ianya selesai dengan jaya.

Kebanyakan mereka mendiami kawasan penempatan Site B Sekinchan lebih 50 tahun dan melahirkan kegembiraan dengan pemilikan tanah itu.

Lee Am Moi, 70, berkata sebelum ini beliau dan keluarga sudah memohon beberapa kali bagi pemilikan itu dan pengakhiran gembira itu disambut penuh syukur.

“Saya sudah menunggu lama saat ini kerana permohonan sebelum ini membabitkan beberapa generasi.

“Sekarang sudah berakhir dan kita gembira,” katanya kepada SelangorKini di sini, semalam.

Am Moi adalah salah seorang daripada 27 keluarga penerima dalam majlis penyerahan hakmilik tanah Site B Sekinchan dan bantuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Yap Hen Keou, 79, juga sependapat dengan menyatakan ia adalah hadiah penuh makna kepada dirinya.

“Saya bersyukur menerima hakmilik tanah ini dan ia memberi makna besar dalam hidup saya sekeluarga.

“Dengan pemilikan diperoleh, kini keluarga boleh meneruskan hidup seperti biasa lebih gembira,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.