Categories
SELANGOR

LKAN 2015: Tingkatkan pelaksanaan kerja selenggara jalan negeri

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MEI: Audit Negara mengesyorkan Kerajaan Negeri mempertingkatkan pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan negeri memandangkan baki terkumpul Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri masih tinggi.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2015 siri 1, melalui Perbendaharaan Negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri/Daerah dan semua Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu mempertingkatkan pemantauan terhadap kerja penyenggaraan jalan dilaksanakan.

LKAN 2015 LOGOIa bagi memastikan kerja dibuat mengikut spesifikasi ditetapkan dan berkualiti untuk mengelakkan pembaziran.

“Selain itu, mengambil tindakan sewajarnya bagi membina semula jalan tidak sesuai disenggara secara penurapan semula biasa dilaksanakan pada masa ini.

“Majlis Daerah Kuala Langat perlu menetapkan piagam pelanggan penyelesaian aduan supaya aduan pengguna diselesaikan mengikut masa ditetapkan,” katanya dalam laporan itu.

Pengauditan dijalankan antara Oktober 2015 hingga Januari 2016 mendapati keseluruhannya, pelaksanaan kerja penyenggaraan jalan negeri daripada aspek prestasi perbelanjaan wang pemberian, kualiti kerja penyenggaraan jalan bagi JKR Daerah Klang dan pendaftaran maklumat jalan dalam MARRIS Online agensi pelaksana bertambah baik LKAN 2012 Siri 3.

Bagi 2013 hingga bulan September 2015, Kerajaan Negeri mencapai 88.9 peratus perbelanjaan berbanding dengan prestasi perbelanjaan bagi 2010 hingga 2012 mencatatkan 56.3 peratus.

Daripada aspek kualiti kerja penyenggaraan jalan, kerja dilaksanakan JKR Daerah Klang adalah memuaskan.

Bagaimanapun, sehingga 19 November 2015, secara umumnya tidak ada maklumat meragukan mengenai ukuran lebar jalan dan lebar bahu jalan dalam MARRIS Online bagi JKR Daerah Klang dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Pada masa sama, Jabatan Kerja Raya Daerah Klang dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) ditegur kerana tidak membuat perancangan menyeluruh pembersihan longkang, penyelengaraan bahu jalan dan mencantas pokok.

“Kualiti kerja penyenggaraan jalan bagi MDKL adalah kurang memuaskan melibatkan 40 peratus daripada kerja penyenggaraan jalan yang dipilih untuk pengauditan ini.

“Kerja penyenggaraan bagi dua dan tiga jalan masing-masing di bawah tanggungjawab JKR Daerah Klang dan MDKL yang diturap pada 2014 dan 2015 rosak semula dalam tempoh kurang daripada dua tahun selepas kerja siap.

“JKR Daerah Klang dan MDKL tidak mengendalikan aduan pengguna dan kejadian kecemasan dengan memuaskan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.