Categories
SELANGOR

LZS peruntuk RM1.89 juta bantu asnaf Gombak

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MEI: Sebanyak RM1.89 juta diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 2,435 keluarga fakir dan miskin bagi daerah Gombak untuk agihan bantuan Ramadan dan hari raya.

Memetik laman Facebook LZS, daripada jumlah itu, sebanyak RM757,850 diagihkan kepada 953 keluarga asnaf fakir dan RM1.1 juta pula bagi 1,482 keluarga asnaf miskin.

LZS ZAKATSumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Shari. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

Amirudin berkata setiap keluarga bakal menerima antara RM600 sehingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan melalui akaun bank dan tunai.

“Agihan ini adalah bersifat tahunan dan berterusan bagi berkongsi hasil dan membantu golongan memerlukan serta kurang bernasib baik.

“Diharapkan bantuan ini digunakan dan dibelanjakan dengan baik bagi memperoleh keberkatan,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan.

Amirudin turut menasihatkan penerima bantuan memanfaatkan peluang dan bantuan yang ada untuk memajukan diri.

“Selain bantuan kewangan, ada juga bantuan modal untuk memulakan perniagaan atau menjadi usahawan yang perlu digunakan oleh mereka untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

“Semuanya perlukan perubahan dalam diri untuk menjadi lebih baik dan mampu hidup berdikari,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.