Categories
SELANGOR

Mangsa ribut Kampung Perepat dibantu

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Angin dan ribut kuat yang melanda kawasan Sementa lewat petang kelmarin menyebabkan 114 rumah di Kampung Perepat di sini mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung dan dinding rumah.

Ekoran kejadian itu, sejumlah 41 mangsa melibatkan 15 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Kampung Perepat bermula jam 10 malam menerima sumbangan barangan keperluang asas dari Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

daroyahDr Daroyah berkata agensi kerajaan ketika ini sedang mengumpulkan data keseluruhan dan sumbangan akan disampaikan tidak lama lagi.

“Kita menerima pelbagai laporan kerosakan. Semoga mereka terus sabar dan redha menghadapi ujian Allah ini. Kali ini kejadian ribut di Kampung Perepat lebih teruk dari kejadian sebelumnya sehingga ada yang menerbangkan keseluruhan bumbung rumah.

“Kita menunggu data keseluruhan dan sumbangan kewangan akan disampaikan tidak lama lagi,” katanya kepada SelangorKini.

daroyah 2Terdahulu Dr Daroyah sempat menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga mangsa bencana ribut di sekitar kawasan terbabit.

Media melaporkan kejadian ribut kuat itu juga turut menyebabkan pengusaha rock melon, Hamid Yahya, 45, mengalami kerugian kira-kira RM150,000 selepas angin ribut merosakkan ‘green house’ dan tanaman rock melon yang diusahakannya sejak 11 tahun lalu.

Penerima anugerah Usahawan Tani Jaya Peringkat Selangor 2015 itu berkata, kejadian itu juga menyebabkan bumbung kediamannya dan rumah pekerja mengalami kerosakan teruk.

Sehingga malam tadi, sembilan keluarga masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.