Categories
SELANGOR

MPAJ serbu premis judi, pusat siber tanpa lesen

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 MEI : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merampas 21 set komputer dan 10 mesin permainan video dalam serbuan di empat buah premis perjudian haram sekitar Ampang Jaya, 12 Mei lalu.

Serbuan diketuai Pengarah Penguatkuasa, Addy Hisham Alias dan Penolong Pegawai Penguatkuasa, Rosli Jaafar bersama 12 anggota mensasarkan pusat siber dan premis hiburan disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

MPAJPegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata kesemua premis menjalankan aktiviti permainan video dengan menjadikan pusat hiburan keluarga sebagai modus operandi kegiatan perjudian mereka.

“Siasatan lanjut mendapat pemilik mengubahsuai komputer menjadi mesin video bagi mengaburi pihak berkuasa, seolah-olah ianya mesin video bagi mendapatkan lesen pusat hiburan awam.

“Pemerikasaan lanjut mendapati ianya menjalankan aktiviti pusat siber dan kafe siber yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian,” katanya.

Dalam serbuan itu, pemilik premis turut menggunakan empat unit kamera pemantau (CCTV) dipasang di laluan tangga dan pintu masuk bagi mengawal kehadiran penguatkuasa.

“Pelanggan yang ingin masuk ke premis dikehendaki menekan loceng dan hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk berdasarkan kepada pemantauan melalui CCTV oleh penjaga premis.

“Anggota terpaksa menyamar beberapa hari bagi meyakinkan penjaga premis sebelum dibenarkan masuk,” katanya.

Sehingga April lalu, pihak MPAJ konsisten menyerbu pusat hiburan dan premis perjudian tanpa lesen dengan jumlah rampasan 194 mesin video dan 302 set komputer.

Dalam tempoh itu, sebanyak 54 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis membabitkan 31 sitaan dibuat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.