Categories
SELANGOR

Piala Sultan Selangor: Zainal beraksi dua watak utama

SHAH ALAM 3 MEI : Zainal Abidin Hassan bakal memainkan dua watak penting buat Selangor ketika turun menghadapi cabaran seteru tradisi, Singapura pada Piala Sultan Selangor edisi ke-15 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, 7 Mei pada Sabtu ini.

Pertamanya, Zainal, 55, turun mewakili skuad Veteran Selangor bagi aksi menentang Veteran Singapura pada pembuka tirai dengan misi merampas semula piala penuh tradisi itu selepas sekadar terikat 1-1 pada edisi terakhir berlangsung dua tahun lalu.

ZAINAL RED GIANTSKatanya, sebagai bekas pemain The Red Giants, dirinya terasa begitu dekat dengan Piala Sultan Selangor dengan pertembungan itu turut meletakkan maruah Selangor yang berkongsi sejarah bola sepak yang panjang dengan musuh seberang tambak itu.

“Semua pemain Selangor tidak mengira pemain veteran ataupun anak buah saya begitu menanti-nantikan kejohanan ini kerana ia adalah satu-satunya kejohanan membabitkan perlawanan antara dua pasukan bermusuh dari segi sejarah bola sepak.

“Tambahan pula beraksi di laman sendiri, kami akan cuba untuk merampas kembali Piala Sultan Selangor dan kemeriahan puluhan ribu penyokong Selangor di stadium keramat itu bakal menjadi pembakar semangat kami dalam merealisasikan impian ini,” katanya dipetik BH Online.

Kemudiannya, selepas turun selaku pemain veteran, Zainal terus menukar tugasnya kepada jurulatih dan perlu memfokuskan tumpuannya bagi mengendalikan skuad Selangor menghadapi Pilihan Singapura yang dibarisi gabungan pemain Liga Singapura pada perlawanan utama.

Katanya, dia turut memiliki misi peribadi untuk merangkul Piala Sultan Selangor sebagai jurulatih selepas pernah memenangi piala tradisi itu ketika mewakili skuad Veteran Selangor sebelum ini.

“Edisi kali ini lebih manis jika saya dapat merangkul kejuaraan sebagai pemain Veteran Selangor dan juga sebagai pengendali pasukan ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.