Categories
SELANGOR

PKNS berjaya tanam lebih sejuta pokok, kekal lestari alam

OLEH : HAFIZAN TAIB

PULAU KLANG, 23 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya menanam lebih sejuta pokok di kawasan projek perumahan dan perbandaran diusahanya di seluruh Selangor.

Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah, berkata usaha dijalankan itu bersesuaian dengan konsep dipraktikkannya bagi mewujudkan kawasan pembangunan harmoni dan mampan selain mengekalkan kehijauannya.

Program tanam pokok PKNS di Pulau Klang (ASRI) (2)“Ia adalah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang kita jalankan di kawasan projek perumahan dan perbandaran.

“Ia membabitkan banyak kawasan projek yang mana antara kawasannya ialah Bangi, Shah Alam dan Pelabuhan Klang,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, program CSR itu bermula sejak 1984 dan ia mencapai sasarannya pada tahun lalu.

Berhubung penanaman pokok bakau di pulau ini, katanya, anak syarikat Kerajaan Negeri itu menggerakkan program itu bagi meraikan sambutan Hari Biodiversiti Dunia tahun ini.

“Ia termasuk juga dalam projek perbandaran terbaru kita iaitu Selangor Cyber Valley apabila kita membangunkan tiga tasik dan di sekelilingnya disediakan kawasan penanaman pokok.

“Pulau Klang ini adalah kawasan hutan simpan dan penanaman pokok bakau adalah usaha kita mengekalkan dan memelihara untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya sambil menambah 46 peserta terbabit dalam program menanam 500 pokok itu.

Penanaman pokok Bakau di sini, katanya, adalah cadangan Jabatan Perhutanan Selangor menerusi perbincangan dijalankan PKNS dengan pihak berkuasa itu menyediakan pokok berkaitan bagi tujuan dinyatakan.

“Bakau ini amat mustahak untuk biodiversiti dan bagi pembangunan ekosistem,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.