Categories
SELANGOR

Red Giants tekad tumbangkan Kelantan malam ini

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 MEI: Walaupun sukar, Selangor kini fokus memburu kemenangan dalam pertemuan bersama Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke IV, Kota Bharu, malam ini.

Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan, berkata pasukan perlu segera melupakan kekecewaan dan memberi fokus bagi meraih mata penuh dalam pertemuan kedua dengan pasukan Pantai Timur itu.

“Selepas kehilangan mata penuh di Shah Alam, pasukan perlu berusaha lebih keras untuk memungut tiga mata di Kota Bharu.

RED GIANTS“Pemain kena gandakan usaha kerana bermain di tempat lawan dan jangan melepaskan peluang diperoleh,” katanya.

Rabu lalu, Selangor dan Kelantan seri tanpa jaringan dalam perlawanan Liga Super berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini.

Keputusan itu meletakkann The Red Giants di kedudukan ketiga liga dengan 19 mata ketinggalan lapan mata berbanding pendahulu, Felda United dan pasukan kedua, Johor Darul Ta’zim (27).

Bagi merapatkan jurang mata, Selangor tiada pilihan lain selain mencipta kemenangan di gelanggang lawan.

The Red Giants bagaimanapun terpaksa mengenepikan penyerang utamanya, Patrick Ronaldinho Wleh selain Saiful Ridzuwan Selamat yang ditimpa kecederaan ketika bertemu pasukan dibimbing Velizar Popov itu.

Begitu juga Azrid Nasrulhaq yang nasibnya hanya akan ditentukan sebelum perlawanan bermula.

“Azrif ada bersama pasukan dan kita akan meneliti keadaannya dalam latihan.

“Kecederaan Patrick sedikit menjejaskan pasukan tetapi berharap pemain menggantikannya dapat memberi kesan positif kepada pasukan,” katanya.

Zainal dijangka melakar taktikal baru dan menyenaraikan Ahmad Hazwan Bakri atau Adam Nor Azlin bagi membentuk gandingan di bahagian hadapan bersama Mauro Olivi dan Andik Vermanshah.

“Memang Selangor tidak boleh kehilangan mata lagi untuk bersaing dengan pasukan utama dalam liga,” katanya menyentuh situasi sukar itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.